Sungai Kinabatangan sudah 'tidak sihat' - Bung Moktar
KOTA KINABALU - Sungai Kinabatangan yang terletak di Sandakan didakwa kini sudah 'tidak sihat' apabila sepanjang tebing sungai tersebut ditanam dengan pokok kelapa sawit.
Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Lamag) berkata, kerajaan negeri di bawah Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar perlu mengambil tindakan berhubung pelbagai isu termasuk pencemaran seperti di Sungai Kinabatangan.
"Kita lihat, sekitar tebing sungai Kinabatangan, 570 kilometer (panjang) ditanam kelapa sawit, benteng-benteng untuk kesihatan sudah tidak ada.
"Sungai Kinabatangan hitam dengan racun dan sebagainya, tidak ada tindakan. Jadi, apa yang kita harapkan untuk masa depan generasi anak muda kita.
"Kalau kita tidak ada perancangan, bagaimana khentikan perkara ini supaya tidak ada lagi pencemaran dan penanaman di tebing sungai," katanya ketika membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Taman-Taman (Pindaan) 2024, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Khamis.
Katanya lagi, pencerobohan sungai juga turut menyebabkan bekalan air bersih terjejas namun dalam masa sama, sukar untuk menyalahkan masyarakat kerana mereka tidak diberi pendedahan mengenainya.
"Dulu sungai-sungai ini bersih tetapi dicemari oleh masyarakat yang tidak berpengetahuan, (tetapi) tidak boleh kita salahkan sebab kita tidak didik mereka.
"Tidak mungkin kita memberi penerangan yang sejelasnya kepada mereka, sudah tentu masa juga berubah. Jadi perlu kita selaraskan perkara-perkara ini," katanya
Sebelum itu, Bung Moktar juga turut menyentuh isu pusat pelancongan di pulau sekitar Semporna yang didakwanya tidak berlesen manakala jeti juga tidak teratur.
"Di Semporna banyak pulau-pulau yang ada pusat pelancongan tapi tidak berlesen. Jeti kita pun di Semporna, macam sayur, macam rojak.
"Kita ada duit, kenapa kita tidak belanjakannya, saya pun tidak tahu apa yang perlu kita beritahu kepada kerajaan ini.
"Kalau saya bercakap keras, dituduh saya memecah-belahkan tetapi ini realitinya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!