Covid-19: Melaka ubah strategi, fokus pelancongan kesihatan
MELAKA TENGAH - Melaka akan mengubah strategi pelancongan berikutan kelembapan sektor tersebut berikutan penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, rancangan itu termasuk memberi fokus kepada pelancong tempatan memandangkan menerima maklum balas pemain industri perhotelan yang kini menghadapi banyak pembatalan pelancong dari China.
Menurutnya, antara yang boleh dilakukan adalah memperkasakan sektor pelancongan kesihatan di negeri ini dan menyasarkan lebih sejuta pelancong dari Indonesia datang ke negeri ini.
Beliau berkata, Melaka mempunyai beberapa hospital swasta yang boleh menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik selain Pusat Perubatan Mahkota sekali gus usaha ini mampu merealisasikan sasaran 20 juta pelancong ke Melaka pada tahun ini.
"Kita tidak menafikan Covid-19 menyebabkan sektor pelancongan terjejas, kita sedang berbincang dengan pihak pelancongan untuk kita strategi semula Tahun Melawat Malaysia 2020 dan Tahun Melawat Melaka.
"Kita harus guna potensi kita melalui hospital swasta yang sedia ada seperti Mahkota yang mungkin penggunaannya tinggi tapi hospital swasta lain masih ada ruang," katanya.
Adly berkata demikian selepas pasca Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri dan Penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Baru.
Sementara itu, Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort Sdn Bhd, Datuk Marco Seow Chee Han mengakui situasi yang berlaku memberi impak kepada aliran tunai operasi perniagaannya sehingga dianggarkan mengalami pengurangan pelanggan kira-kira 30 peratus.
"Memang beri impak dan kita harap isu virus ini dapat dikawal dan tidak terus berlarutan supaya industri ini terus pulih dan bantu Melaka tingkatkan kehadiran pelancong sebab pengurangan bukan sahaja membabitkan pelancong China tetapi juga pelanggan domestik.
"Selain itu kita juga kita mengambil langkah penularan virus dengan menyediakan kemudahan cecair pembunuh kuman termasuk di pintu masuk taman tema air selain pekerja kerap melakukan kerja-kerja pembersihan," katanya.
Pengurus Besar Ames Hotel, Partipal Paul Singh berkata, pihaknya turut terkesan dengan keadaan itu sehinggakan lebih 60 peratus tempahan dalam talian dibatalkan dalam tempoh lebih sebulan.
"Kita dapati banyak pembatalan dibuat pelanggan terutamanya daripada pelancong China selain Singapura yang turut menangguhkan tempahan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!