Kempen Jom Kosong dapat sambutan
KUALA LUMPUR - Kempen ‘Jom Kosong’ yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha mengurangkan pengambilan gula dalam kalangan rakyat Malaysia di seluruh negara semakin mendapat sambutan.
Timbalan Menteri, Fuziah Salleh berkata, kempen ini melibatkan kerjasama dengan rakan strategik seperti pengusaha restoran, premis makanan dan minuman, serta persatuan seperti Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta) dan Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma).
"Dua hari lepas Tealive (jenama minuman) melancarkan kempen Jom Kosong mereka dengan KPDN di mana 1,000 outlet terlibat manakala Secret Recipe ada 360 outlet yang terlibat dengan Jom Kosong.
"Di samping itu, ada persatuan lain mengatakan komitmen seperti Sahabat Tomyam Prihatin dan kita menunggu Restoran India Malaysia juga terlibat,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) yang sama ada langkah KPDN menganjurkan program dan kempen kesedaran mengenai pengurangan penggunaan gula dalam makanan dan minuman berkesan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!