Kuala Muda kekal daerah catat kadar kemalangan tertinggi
ALOR SETAR - Daerah Kuala Muda masih menjadi antara daerah yang mencatatkan kadar kemalangan dengan kematian tertinggi dalam negara.
Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Kedah, Dzowahir Ab Ghani berkata, daerah Kuala Muda merekodkan 109 kematian bagi tempoh Januari hingga September tahun ini, sekali gus tinggi berbanding daerah-daerah lain.
Bagaimanapun, beliau yang juga Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan negeri memaklumkan, Kedah bukan lagi negeri yang mencatatkan kadar kemalangan dengan kematian tertinggi dalam negara.
"Kita telah mengambil iltizam ataupun pendekatan dan kini Kedah merupakan negeri keempat dengan 582 kematian pada tahun lepas.
"Saya berterima kasih atas semua usaha pihak terlibat dan selepas ini terus berusaha untuk berada di tempat terakhir memandangkan kemalangan jiwa adalah satu peristiwa yang sedih dan menyentuh hati," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia Peringkat Negeri Kedah di Auditorium Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini pada Khamis.
Menurutnya, terdapat pelbagai usaha diambil termasuklah kempen keselamatan jalan raya untuk mengurangkan kadar kemalangan.
"Jikalau masyarakat tidak berdisiplin. agak sukarlah untuk kita hendak mengurangkan kes kemalangan jalan raya di negara ini," katanya.
Sehubungan itu, katanyam setiap pengguna jalan raya perlu memiliki tahap displin yang tinggi bagi membantu dalam mengurangkan kadar kematian.
"Saya ingin menyeru semua pihak termasuklah jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan juga swasta untuk bersama-sama meneruskan kempen keselamatan jalan raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!