MBI peruntuk RM15 juta setahun program pendidikan Selangor

Ahmad Azri (lima dari kiri) pada Hari Terbuka Madani PPD Petaling Perdana 2024 di Plaza Shah Alam pada Khamis.
Ahmad Azri (lima dari kiri) pada Hari Terbuka Madani PPD Petaling Perdana 2024 di Plaza Shah Alam pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor Pemerbadanan (MBI) melalui Yayasan MBI menyediakan peruntukan RM15 juta setahun untuk program pembangunan pendidikan di Selangor.

Ketua Yayasan MBI, Ahmad Azri Zainal Nor berkata, selain program Kembali ke Sekolah, MBI turut menyediakan peruntukan kategori infra sekolah sebanyak RM1 juta, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) RM500,000 serta program pengupayaan iaitu sumbangan kepada pelajar di Selangor yang bertanding di peringkat antarabangsa.

Selain itu katanya, MBI turut menyalurkan peruntukan di bawah Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) peringkat sekolah menengah yang akan diperluaskan ke peringkat sekolah rendah bermula tahun depan.

"PTRS membabitkan peruntukan RM10 juta talah memberi manfaat kepada 130,000 pelajar tingkatan empat dan lima.

"Bermula tahun depan PTRS akan diperluaskan ke sekolah rendah melalui program Literasi dan Numerasi membabitkan peruntukan tambahan RM1 juta akan memberikan manfaat sehingga 25,000 murid kelas peralihan," katanya pada Khamis.

Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Madani Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Petaling Perdana 2024 di Plaza Shah Alam pada Khamis.

Program bertemakan Pendidikan Madani Melahirkan Generasi Karamah Insaniah turut dihadiri Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Che Wan Rohani Ramly.

Mengulas lanjut, program Literasi dan Numerasi yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Belanjawan 2025 Jumaat lalu akan menumpukan kepada murid-murid kelas peralihan membabitkan 432 sekolah.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ketika ini modul pembelajaran bagi kelas itu telah diselesaikan dua minggu lepas dan dijangka program berkenaan dimulakan sekitar Mac depan.

"Kerajaan negeri amat komited dalam isu pendidikan apabila Menteri Besar sendiri memegang portfolio pendidikan dan banyak peruntukan disalurkan bagi tujuan tersebut.

"Tumpuan tidak hanya untuk sekolah menengah tetapi juga sekolah rendah selain peruntukan lain yang akan dijalankan secara berterusan hingga tahun-tahun berikutnya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Hari Terbuka Madani PPD Petaling Perdana merupakan platform penting untuk memperkukuh hubungan antara pihak sekolah bersama ibu bapa.

"Ia beri gambaran jelas pencapaian bukan hanya dinilai dari aspek pendidikan anak-anak malah perlu bersama-sama mencari kaedah terbaik meningkatkan aspek sahsiah anak-anak.

"Menerusi komitmen ditunjukkan, saya yakin hubungan erat ini mampu lahirkan anak-anak berjaya dalam pendidikan dan berakhlak," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!