Air campur selut masuk dalam rumah
KEMAMAN - Penduduk di Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong di sini tidak menyangka air di kawasan penempatan mereka naik terlalu cepat berbanding kebiasaan sehingga tidak sempat menyelamatkan barangan rumah.
Mohd Noor Imas, 47, berkata, air yang bercampur selut itu memasuki rumahnya dalam tempoh beberapa jam.
"Tak sangka air naik cepat sebab sebelum ini kalau hujan sehari itu air tak naik lagi tetapi kali ini air bercampur selut pula masuk dalam rumah.
"Jadi saya angkat mana yang termampu. Almari dan perabot lain memang tak sempat nak angkat dan hanya pakaian dan dokumen penting sempat diselamatkan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Khamis.
Sementara itu, Azlina Othman, 40, berkata, dia tidak sempat menyelamatkan perabot dan pakaian yang ditenggelami air banjir berikutan mengambil anaknya di sekolah pada jam 1 tengah hari.
"Semasa saya keluar rumah nak ambil anak di sekolah memang keadaan jalan berada dalam keadaan baik dan tiada lagi jalan dinaiki air.
"Sebaik sahaja pulang saya terkejut apabila mendapati jalan di luar kawasan rumah sudah dinaiki air sehingga paras pinggang.
"Saya tidak sangka air naik terlalu cepat kali ini kerana sehari sebelum kejadian itu, cuaca sangat panas dan hujan mula turun pada awal pagi Selasa.
"Kita jangka air naik dalam tempoh sehari dua tetapi jam 1.30 tengah hari Selasa sudah memasuki sepenuhnya dalam rumah sehingga ke paras lutut dan terus meningkat," ujarnya.
Seorang lagi penduduk, Nadia Mazlan, berkata, semasa kejadian dia sedang sibuk menyimpan barangan rumah untuk diselamatkan.
"Memang tengah angkat barangan rumah seperti barangaan elektrik disimpan di tempat lebih tinggi tetapi keadaan air yang deras masuk ke dalam rumah menyebabkan ada barangan yang terjatuh.
"Jadi ada barangan yang tidak sempat diselamatkan. Rasa risau sebab takut kejadian banjir besar berulang lagi seperti tahun 2014," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!