Lelaki pukul anjing mengaku tidak bersalah
SEREMBAN - Seorang lelaki hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson atas pertuduhan memukul seekor anjing dengan sengaja sehingga mendatangkan kecederaan kepada haiwan tersebut pada awal Februari lalu.
Majistret, Siti Huzaifah Abdul Talib kemudiannya mengarahkan tertuduh C Ravi, 35, membayar wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 Mac depan sebagai sebutan semula kes.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh telah melakukan khianat dengan menggunakan sebatang kayu dengan cara memukul seekor anjing milik S Rajkumaran kira-kira jam 6.30 petang pada 8 Februari lalu di Jalan Kota Lukut.
ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki pukul anjing hingga cedera direman dua hari
Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya, Hafizah Zainul Hashimi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!