'Kundasang tak sejuk lagi, tak nyaman lagi'

Kundasang didakwa tidak lagi sejuk susulan pembangunan yang semakin pesat.
Kundasang didakwa tidak lagi sejuk susulan pembangunan yang semakin pesat.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penebangan pokok dan pembangunan tidak teratur dipercayai punca Kundasang sudah tidak sejuk lagi, kata Datuk Jaujan Sambakong (Warisan-Sulabayan) dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Khamis.

Beliau berkata, suasana alam sekitar tempat pelancongan tanah tinggi itu sudah tidak sama seperti sebelum ini di mana pembangunan sudah banyak di kawasan berkenaan.

"Saya ada pergi ke Kundasang, bila saya lihat, saya beritahu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, tempat itu cukup cantik.

"Tapi hari ini saya tengok jauh dari segi alam sekitar berbanding dulu, tak sejuk lagi, tak nyaman lagi. Yang lain kadang-kadang tiada lagi, pasal penebangan pokok-pokok dan kita tidak nafikan kesan daripada pembangunan pesat.

"Saya tengok di lereng-lereng bukit di Kundasang itu banyak pembangunan tidak teratur. Bukan hanya di sungai, akhirnya pokok-pokok mati maka itulah berlaku yang kita katakan perubahan iklim," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan pindaan Rang Undang-Undang Taman-Taman (Pindaan) 2024 yang dibentangkan Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Christina Liew.

Beliau yang menyokong pindaan Rang Undang-Undang tersebut turut berkata, perubahan iklim itu bukan saja kerana fenomena dunia tetapi disebabkan perbuatan manusia.

"Jadi saya sangat menyokong pindaan akta ini supaya diperkasakan lagi untuk tujuan supaya sentiasa ada tarikan dan dapat dinikmati bukan saja generasi hari ini tetapi di masa akan datang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Rang Undang-Undang yang dibahaskan oleh lapan ADUN telah diluluskan secara sebulat suara dalam persidangan kali ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!