Kelantan bentang Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion

Mohd Nassuruddin ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Kota Darulnaim di Kota Bharu.
Mohd Nassuruddin ketika pembentangan Belanjawan 2025 di Kota Darulnaim di Kota Bharu.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan membentangkan Belanjawan 2025 berjumlah RM1.45 bilion dengan anggaran defisit sebanyak RM93.02 juta.

Menteri Besar, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, jumlah defisit tersebut berkurang sebanyak RM85.47 juta iaitu 47.88 peratus berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM178.49 juta.

“Pengurangan defisit menunjukkan usaha kerajaan Kelantan ke arah mencapai keseimbangan belanjawan dari tahun ke tahun bagi menjamin pengukuhan aliran tunai dan rizab tunai kerajaan tanpa sedikit pun mengurangkan peruntukan program serta projek melibatkan kepentingan rakyat.

“Belanjawan 2025 pula disusun secara bertumpu bagi memenuhi pelaksanaan dan penyempurnaan sebahagian daripada Strategi Penghayatan Membangun Bersama Islam 2023-2033 serta Halatuju Portfolio Kerajaan Negeri 2024-2028 yang mencakupi lima elemen Maqasid Syariah,” katanya.

Carta pecahan Belanjawan Kelantan 2025.
Carta pecahan Belanjawan Kelantan 2025.

Beliau membentangkan belanjawan bertemakan Keberkatan, Kesejahteraan dan Keseimbangan Untuk Kemakmuran Negeri pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Khamis.

Mohd Nassuruddin berkata, anggaran hasil negeri pada tahun depan dijangka sebanyak RM997.26 juta yang meliputi hasil cukai berjumlah RM230.51 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM354.93 juta dan terimaan bukan hasil bernilai RM411.82 juta.

Artikel Berkaitan:

Katanya, jumlah tersebut menunjukkan kenaikan dalam hasil sebanyak RM30.01 juta iaitu 3.10 peratus berbanding anggaran hasil tahun ini sebanyak RM967.25 juta.

“Hasil tanah adalah penyumbang terbesar dengan jumlah RM379.05 juta daripada keseluruhan jumlah hasil dan meningkat sebanyak RM2.04 juta iaitu sebanyak 0.54 peratus berbanding anggaran pada tahun ini sebanyak RM377 juta.

"Anggaran kutipan hasil pada tahun depan diunjurkan meningkat sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan anggaran kutipan hasil tanah yang ditetapkan sebanyak 100 peratus jumlah patut pungut, menguatkuasakan kutipan bayaran terhadap tunggakan cukai tanah berjumlah melebihi RM50,000, menetapkan Petunjuk Prestasi Utama kutipan bayaran notis dan denda lewat bayar cukai tanah sebanyak 30 peratus daripada jumlah patut pungut,” katanya.

Carta anggaran hasil negeri Kelantan tahun depan.
Carta anggaran hasil negeri Kelantan tahun depan.

Beliau memberitahu, kerajaan Kelantan juga amat memerlukan pendaya upaya bagi menarik pelaburan berpotensi ke negeri ini melibatkan infrastruktur asas seperti lebuh raya, sistem bekalan air bersih yang stabil dan mencukupi untuk keperluan industri, bekalan elektrik yang baik dan kawasan industri baharu yang dilengkapi dengan infrastruktur kemudahan asas yang lengkap.

“Kerajaan negeri yakin hubungan baik dengan kerajaan Persekutuan yang terbina selama ini berteraskan semangat federalisma adalah isyarat yang sangat positif kepada negeri dan rakyat Kelantan,” ujar beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!