Terengganu yakin kekal juara Sukma 2020

Ahmad Samsuri memakaikan jaket CDM kepada Zainal yang akan mengetuai Kontinjen Terengganu di Sukma 2020.
Ahmad Samsuri memakaikan jaket CDM kepada Zainal yang akan mengetuai Kontinjen Terengganu di Sukma 2020.
A
A
A

TERENGGANU yakin dapat menambah kutipan emas, sekali gus mengekalkan kejuaraan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2020 di Johor, Julai ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, bagi memastikan sasaran itu tercapai, pihaknya akan menggunakan mekanisme sama sebagaimana Sukma 2018, yang menyaksikan Terengganu berjaya merampas kejuaraan Sukma, setelah kali terakhir berjaya melaksanakannya pada 2012 di Sukma Pahang.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan sasaran emas, namun menyenaraikan beberapa acara sukan seperti basikal, kenu dan judo yang menjadi sandaran utama kontinjen Terengganu kali ini.

"Bagi Sukma kali ini, saya harapkan komitmen yang serupa oleh atlet dan kontinjen, malah lebih hebat lagi supaya memberi nilai tambah untuk bergelar juara sekali lagi buat kali ke enam.

"Persiapan kontinjen negeri telah bermula dengan latihan secara rasmi sejak 1 November 2018 lagi. Ini bermakna, sudah 468 hari atlet-atlet kita telah berlatih secara berterusan dan mereka telah memasuki fasa akhir latihan sejak 1 Januari yang lalu.

"Walaupun kita maklum, misi mempertahankan kejuaraan bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilakukan oleh mana-mana kontinjen, tapi saya percaya atlet kita mampu melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Pelantikan Rasmi Ketua Kontinjen, Timbalan Ketua Kontinjen, Bapa Angkat dan Jabatan Angkat Sukan Sempena SUKMA XX Johor 2020 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Pada majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin diberi tanggungjawab sebagai Chef De Mission (CDM) Kontinjen Sukma Terengganu 2020 manakala Pengarah Tanah dan Galian Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farok Hussin Tengku Abdul Jalil dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh dilantik sebagai Timbalan CDM.

Artikel Berkaitan:

"Buat pertama kalinya dua orang timbalan CDM dilantik pada satu masa, kerana Terengganu memerlukan tumpuan yang lebih dengan pertambahan bilangan sukan serta acara, tambahan pula saingan yang sangat mencabar kali ini terutama daripada kontinjen tuan rumah," katanya.

Beliau turut mengesahkan, Terengganu akan menghantar atlet bagi sukan akuatik, namun perincian acara akan dimuktamadkan kemudian.

Sementara itu, dalam majlis berkenaan, Ahmad Samsuri turut menyampaikan Insentif Skim Wakil Negara (SWARA) dan Insentif Hadiah Kemenangan (SHAKE) atlet Terengganu ke Temasya Sukan Sea Ke-30 di Filipina, tahun lalu yang berjumlah RM91,200.

Seramai 67 atlet dan pegawai Terengganu terlibat dalam temasya Sukan SEA itu, dengan 27 orang menerima skim SHAKE dan 67 orang menerima skim SWARA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!