Bot karam, TLDM selamatkan empat nelayan Indonesia

Op Patkor Malindo telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani, kira-kira 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak. Foto TLDM
Op Patkor Malindo telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani, kira-kira 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak. Foto TLDM
A
A
A

LUMUT - Empat nelayan warga Indonesia diselamatkan selepas bot dinaiki karam dilanggar kapal dagang ketika menangkap ikan di perairan Indonesia.

Kesemua mangsa dipercayai telah hanyut beberapa hari di laut sebelum ditemui nelayan tempatan berhampiran Pulau Jarak di sini, sekitar jam 1.40 petang pada Rabu.

Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam satu kenyataan memaklumkan, nelayan berkenaan telah dibawa ke Pulau Jarak sebelum diserahkan kepada Stesen Jarak TLDM untuk tindakan lanjut.

Menurut kenyataan itu, Kapal Diraja (KD) Mahamiru yang sedang melaksanakan Operasi Patroli Terkoordinasi Malaysia-Indonesia (Op Patkor Malindo) telah ditugaskan untuk memindahkan mangsa dari Stesen Jarak ke Kapal Republik Indonesia (KRI) Torani, kira-kira 40 batu nautika barat laut Pulau Jarak.

"Penyerahan keempat-empat nelayan kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan pada jam 12.40 tengah malam tadi (Rabu).

"Operasi ini turut melibatkan penyertaan KD Laksamana Muhammad Amin dan KRI Bubara," katanya.

Penyerahan keempat-empat nelayan kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan jam 12.40 tengah malam pada Rabu. Foto TLDM
Penyerahan keempat-empat nelayan kepada KRI Torani berjaya dilaksanakan di sempadan perairan jam 12.40 tengah malam pada Rabu. Foto TLDM

Artikel Berkaitan:

Kenyataan sama berkata, usaha menyelamat mangsa membuktikan objektif Op Patkor Malindo tercapai dan memberi keyakinan kepada komuniti maritim khususnya memudahkan penghantaran mangsa dengan berkesan.

Katanya, hubungan strategik ini menegaskan komitmen kedua-dua negara terhadap perairan Selat Melaka sekali gus memperkukuh kestabilan maritim di rantau ini.

"Kejayaan ini mencerminkan hubungan erat serta semangat sepakat yang dipersetujui pemimpin tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Tentera Nasional Indonesia (TNI)," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!