Taktik pindah randah dikesan
BUKIT MERTAJAM – Taktik tiga anggota sebuah kumpulan pecah rumah yang berpindah randah bagi mengelakkan diri mereka dikesan, gagal selepas mereka diberkas polis semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid hari ini berkata, dua daripada suspek berkenaan berumur 34, dan 43, tahun ditangkap semasa berada dalam sebuah kereta di Taman Angsana, Kulim, Kedah kira-kira pukul 8.30 malam tadi.
“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Taman Jati juga di Kulim dan menahan seorang lelaki berusia 34 tahun yang juga merupakan dalang utama geng tersebut,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini.
Katanya, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,200, minuman keras pelbagai jenama, barangan kemas, jam berjenama dan barangan elektronik yang keseluruhannya bernilai RM100,000 yang dipercayai hasil aktiviti kumpulan itu.
“Dalam serbuan di rumah itu polis turut menemui peralatan seperti spanar, playar dan kuku kambing dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah mereka,” katanya.
Nik Ros Azhan berkata, siasatan mendedahkan modus operandi kumpulan itu mengenal pasti rumah-rumah mewah dan memecah masuk ketika penghuni tiada di premis sasaran mereka pada waktu siang.
Katanya, kumpulan ini juga tidak menetap lama di satu-satu tempat bagi mengelakkan dikesan polis dan setakat ini dipercayai terlibat sekurang-kurangnya dalam 19 kes jenayah pecah rumah yang dilaporkan di Pulau Pinang, Kedah dan Selangor sejak dua bulan lepas.
"Mereka bergerak dari satu negeri ke negeri lain dan kami tidak menolak kemungkinan mereka terlibat dalam banyak lagi kes,” katanya sambil menambah ketiga-tiga suspek kini di bawah tahanan reman selama empat hari untuk siasatan lanjut.
Katanya, dua daripada tiga lelaki itu masing-masingnya mempunyai 17 dan 34 rekod jenayah lampau dan kesemua mereka didapati positif dadah.
Dalam kes lain Nik Ros Azhan berkata, pihaknya merampas sepucuk pistol jenis American Air Gun selain bahan disyaki heroin dan syabu bernilai RM5,273 dari dua orang lelaki yang disyaki anggota sindiket pengedaran dadah di Simpang Ampat di sini Isnin lepas.
Menurutnya, kedua-dua lelaki berkenaan, masing-masing berumur 30, dan 34 tahun, didapati positif dadah dan dipercayai menggunakan senjata berkenaan bersama dua butir peluru untuk mempertahankan diri semasa urusan jual beli dadah.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!