Selangor terus bela kebajikan wanita, kanak-kanak di pusat kebajikan

Penerima geran bergambar bersama Anfaal (duduk, tengah) selepas Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Negeri Selangor pada Khamis.
Penerima geran bergambar bersama Anfaal (duduk, tengah) selepas Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Negeri Selangor pada Khamis.
A
A
A

SHAH ALAM - Selangor akan mengekalkan peruntukan geran Bantuan Rumah Perlindungan, Program Sinergi Prihatin dan Program Pusat Kebajikan Lestari dengan jumlah sebanyak RM373,000 tahun depan.

Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Negeri Selangor, Anfaal Saari berkata, lebih 50 rumah kebajikan termasuk rumah perlindungan wanita di Selangor mendapat manfaat menerusi geran yang disalurkan pada tahun ini.

"Geran ini adalah untuk tahun ini dan jumlah sama juga akan dikekalkan pada tahun depan. Namun sekiranya Jun depan, kita ada peluang untuk tambah peruntukan kita akan maklumkan.

"Tetapi untuk Pusat Pemulihan Dalam Komuniti yang mana sangat memerlukan bantuan dari segi peralatan kesihatan dan rehab, mereka boleh memohon bantuan ini dari awal tahun," ujarnya.

Anfaal ditemui pemberita selepas menyempurnakan penyerahan geran pada Majlis Penyerahan Geran Kebajikan dan Wanita Negeri Selangor di Foyer Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada Khamis.

Geran Bantuan Rumah Perlindungan merupakan inisiatif untuk membantu serta menambah baik rumah perlindungan bagi golongan wanita dan kanak-kanak yang terlibat dengan isu keganasan rumah tangga dan keganasan berasaskan gender dari segi fasiliti, operasi serta menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan.

Anfaal berkata, terdapat enam rumah perlindungan yang menerima geran Bantuan Rumah Perlindungan kali ini dengan jumlah peruntukan RM73,000.

Sementara itu, bagi Program Sinergi Prihatin Program pula adalah inisiatif kepada persatuan-persatuan dan badan-badan bukan kebajikan untuk menganjurkan program-program kebajikan secara usaha sama atau secara 'sinergi' dengan kerajaan negeri.

Artikel Berkaitan:

"Terdapat tujuh persatuan yang menerima geran Program Sinergi Prihatin kali ini, dengan jumlah peruntukan RM150,000," ujarnya.

Bagi geran Program Sinergi Prihatin pula ia bertujuan memberdaya pusat-pusat kebajikan berdaftar dan beroperasi di Selangor dengan memberikan dana untuk pembelian peralatan perubatan dan kesihatan.

"Terdapat 16 pusat kebajikan yang menerima Program Pusat Kebajikan Lestari kali ini, dengan jumlah peruntukan RM150,000," ujarnya.

Tambahnya, pemberian geran-geran ini ialah selaras dengan Rancangan Selangor Pertama (RS-1) Tema Strategik 2 iaitu Peningkatan Kesejahteraan dan Keterangkuman Sosial, serta hasrat kerajaan negeri untuk 'Kita Selangor Maju Bersama'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!