Pas persoal agenda sebalik tajaan lawatan PM

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan kerajaan menerima tajaan terhadap kos lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada syarikat swasta membuka pintu persoalan mengenai konflik kepentingan.

Sehubungan itu, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoal sama ada benar pihak berkenaan begitu bermurah hati atau menganggapnya sebagai pelaburan strategik dengan pulangan dijanjikan.

“Apakah keputusan dasar kerajaan yang mungkin dipengaruhi oleh ‘tajaan’ ini? Dalam dunia perniagaan, tiada siapa yang membelanjakan berjuta-juta tanpa mengharapkan pulangan.

“Pihak swasta pasti sudah menghitung bahawa sumbangan mereka akan membawa keuntungan baik dalam bentuk kontrak kerajaan, kelonggaran peraturan atau akses eksklusif ke sumber mahsul negara,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Khamis.

Sebelum ini, Anwar memaklumkan kos sekitar 70 hingga 80 peratus yang dibelanjakan membabitkan perjalanan dan lawatan rasmi ke lima negara ditanggung syarikat swasta yang turut mengikuti urusan itu.

Anwar berkata, ia adalah pendekatan lain di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan bagi membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan dengan secekap mungkin.

Jelas Ahli Parlimen Tambun itu, syarikat membantu membiayai kos perjalanannya adalah mereka yang mempunyai kepentingan perniagaan pelaburan di negara ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli sekali lagi membangkitkan persoalan terhadap implikasi dasar luar negara.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, pihak swasta yang membiayai lawatan tersebut mungkin memanfaatkan hubungan diplomatik yang terbina untuk kelebihan perniagaan mereka.

“Contohnya, adakah lawatan ini berkaitan dengan keperluan pihak swasta untuk memperluaskan pasaran mereka di luar negara?

“Atau lebih membimbangkan, adakah ia melibatkan penggadaian sumber negara demi keuntungan pihak tertentu?” soalnya.

Dalam hal tersebut, Ahmad Fadhli berkata, kerajaan seharusnya menjadikan negara lain sebagai contoh seperti Jepun yang menganggap penerimaan tajaan atau hadiah daripada entiti berkepentingan sebagai pelanggaran serius terhadap etika penjawat awam.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, Malaysia seolah-olah mendefinisikan semula integriti dengan membolehkan tajaan berskala besar dengan nama penjimatan kos.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!