Dewan Rakyat kecoh, Rayer samakan Anwar setaraf Gandhi, Mandela

Rayer ketika bangun bertanyakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
Rayer ketika bangun bertanyakan soalan tambahan kepada Perdana Menteri dalam sidang Dewan Rakyat pada Khamis.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Dewan Rakyat pada Khamis kecoh seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) menyifatkan pengiktirafan dunia terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim setaraf Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela.

Rayer membuat kenyataan itu ketika bangun untuk mengemukakan soalan tambahan kepada Anwar ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri.

Rayer memulakan mukadimah soalannya dengan memuji usaha dilakukan kerajaan dalam mereformasi pentadbiran dan tatakelola sepanjang pentadbiran Anwar.

"Penerimaan Perdana Menteri di persada dunia sama tarafnya seperti pejuang Mahatma Gandhi dan Nelson Mandela," katanya.

Kenyataan itu disambut dengan sorakan tidak bersetuju beberapa ahli Parlimen pembangkang yang bangun mempertikaikan pengiktirafan itu selain menganggap pemimpin DAP itu mahu membodek.

Meneruskan soalannya, Rayer minta Anwar menjelaskan maksud banduan terhormat yang pernah disebut Perdana Menteri itu memandangkan istilah berkenaan dipertikaikan pembangkang sebelum ini.

"Soalan saya, istilah banduan terhormat dipertikai di Dewan (Rakyat) yang mulia ini. Mereka tak bangun, saya sebagai penyokong tegar Perdana Menteri mempertahankan.

"Saya mohon Perdana Menteri menjelaskan istilah digunakan Perdana Menteri itu," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang pada mulanya memberi ruang kepada Anwar untuk menjawab soalan itu menarik balik keputusannya ekoran kekecohan yang berlaku.

"Saya buat keputusan Menteri (Perdana Menteri) tak perlu jawab, silakan jumpa (Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam). Beliau sedang tunggu PM (di Putrajaya) dan mereka tetamu kita,” tegasnya.

Rentetan itu, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) dan Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) bangun menzahirkan rasa tidak puas hati kerana Anwar perlu meninggalkan Dewan Rakyat tanpa menjawab soalan yang bakal dibangkitkan mereka.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun bagaimanapun secara ringkas menegaskan, beliau tidak peduli setiap makian yang dilontarkan kepadanya.

"Saya nak sebut, maki hamun ini saya tidak peduli. Saya ada kerja.

"Saya sudah dimaki hamun puluhan tahun dan di sebelah sana orang yang paling kuat pertahan saya, terima kasih," katanya sambil memberikan salam dan beredar meninggalkan Dewan Rakyat.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!