Hampir sebulan Erma Fatima hilang
KUALA TERENGGANU - Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan orang kurang upaya (OKU) yang dilaporkan hilang sejak 25 Oktober lepas.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, Erma Fatima Shamsul Bahari, 17, kali terakhir dilihat ketika bersarapan bersama keluarganya di sebuah restoran di Batu Buruk, di sini.
Beliau berkata, remaja itu memaklumkan hendak ke tandas namun tidak kembali dan pencarian ibu bapanya di sekitar kawasan berkenaan juga gagal menemui mangsa yang tidak memiliki telefon bimbit.
"Bapa mangsa telah membuat laporan polis pada 26 Oktober lepas dan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar itu masih belum ditemui sehingga kini," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Azli berkata pada hari kejadian pemegang kad OKU kategori ketidakupayaan itu memakai baju berlengan panjang dan tudung berwarna hitam selain berketinggian 155 sentimeter.
"Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Inspektor Azizul Azizah di talian 013-4195779," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!