Datang untuk menyanyi, Ernie Zakri terharu menang anugerah di Indonesia
TUAH ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Pepatah itu nampaknya sesuai dengan momen yang dilalui oleh penyanyi bersuara lunak, Ernie Zakri.
Siapa sangka, hadir ke acara SCTV Awards 2024 bagi memenuhi undangan persembahan, pemilik nama penuh Nur Ernie Shahirah Zakri itu turut membawa pulang Anugerah Soundtrack Sinetron Paling Ngetop.
Berkongsi kegembiraan menerusi akaun Instagram miliknya, selebriti berusia 32 tahun itu menzahirkan ucapan terima kasih kepada pencipta lagu ini iaitu Ade Govinda, syarikat rakaman serta peminat yang banyak menyokongnya.
“Datang sini untuk nyanyi, tidak sangka dapat bawa pulang kenangan terindah ini.
“Terima kasih Ade Govinda untuk karya ini. Terima kasih Universal Music Malaysia dan Indonesia untuk sokongan yang tidak henti-henti.
"Terima kasih juga buat pasukan saya yang datang ke sini untuk menyiapkan saya serta peminat yang banyak menyokong saya.
"Terima kasih pencinta lagu Masing Masing, kerana anda semua lagi ini sampai ke sini. Sayang semua,” kongsinya.
Lebih membanggakan, buah hati Syamel itu merupakan satu-satunya wakil dari Malaysia.
Untuk rekod, Biduanita Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza turut pernah mencipta kemenangan apabila meraih anugerah Artis Asing Paling Ngetop di SCTV Music Awards pada 2004.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!