Yayasan Rizalman Ibrahim serah dana berjumlah RM2.25 juta kepada APIUM

RIZALMAN (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek dana geran penyelidikan berjumlah RM2.25 juta daripad Yayasan Rizalman Ibrahim kepada Kaharudin (tiga dari kanan).
RIZALMAN (tiga dari kanan) menyerahkan replika cek dana geran penyelidikan berjumlah RM2.25 juta daripad Yayasan Rizalman Ibrahim kepada Kaharudin (tiga dari kanan).
A
A
A

DALAM usaha memartabatkan ilmu Islam, Yayasan Rizalman Ibrahim menyerahkan dana geran penyelidikan berbentuk wakaf ilmu berjumlah RM2.25 juta kepada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada Rabu.

APIUM dalam satu kenyataan memaklumkan, jumlah tersebut merupakan sumbangan paling besar diterima mereka bagi menyokong penyelidikan dalam bidang hadis khususnya dalam projek terjemahan dan huraian kitab Sunan Sittah yang menjadi rujukan utama ilmu-ilmu Islam selepas al-Quran.

“Ini merupakan detik bersejarah bagi APIUM apabila pertama kali menerima dana geran penyelidikan berjumlah RM2.25 juta daripada Yayasan Rizalman Ibrahim yang diterajui Datuk Rizalman Ibrahim.

“Dana ini disalurkan kepada projek penyelidikan yang dikendalikan Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith, APIUM melibatkan dua projek utama yang amat signifikan,” kata kenyataan tersebut di Facebook APIUM pada Khamis.

RIZALMAN (tengah) juga merupakan Profesor Adjung APIUM yang baru dilantik.
RIZALMAN (tengah) juga merupakan Profesor Adjung APIUM yang baru dilantik.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, dua projek tersebut melibatkan projek terjemahan, huraian, penerbitan dan wakaf al-Kutub as-Sittah serta projek penaiktarafan Makmal Living Smart al-Quran dan al-Hadith.

“Kedua-dua projek ini diketuai Ketua Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith APIUM, Profesor Dr Ishak Suliaman,” katanya.

Majlis penyerahan dana geran penyelidikan tersebut dilakukan sendiri Rizalman yang juga Profesor Adjung di Jabatan Al-Quran dan Al-Hadith APIUM kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UM yang mewakili Naib Canselor UM, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr Zamri Radzi, Dekan APIUM, Profesor Dr Mohd Fauzi Hamat dan Ketua Pegawai Operasi Dar Al-Qari Resourses, Jailani Jantan.

Menurut kenyataan itu lagi, Yayasan Rizalman Ibrahim di bawah pimpinan Rizalman membuktikan komitmennya sebagai pemain industri yang aktif dalam memartabatkan pengajian al-Quran dan hadis.

SEBAHAGIAN hadirin pada Majlis Penyerahan Dana Penyelidikan pada Rabu.
SEBAHAGIAN hadirin pada Majlis Penyerahan Dana Penyelidikan pada Rabu.

“Dar Al-Qari Resourses yang berada di bawah Yayasan Rizalman Ibrahim telah menggembleng usahanya di Malaysia melalui cawangan-cawangannya di pelbagai institusi pengajian tinggi awam.

“Malah Yayasan Rizalman Ibrahim juga telah meluaskan sayapnya hingga ke peringkat antarabangsa termasuk Liverpool, United Kingdom,” katanya.

Jelasnya, penyerahan dana geran penyelidikan ini menjadi bukti iltizam Yayasan Rizalman Ibrahim dalam menyokong aktiviti dalam bidang penyelidikan Islam yang berimpak tinggi.

“Semoga usaha ini akan mencapai objektifnya dalam menyebar luas risalah Islam yang terabadi dalam sabda Nabi Muhammad SAW ke seluruh alam,” katanya.

SEBAHAGIAN hadirin pada Majlis Penyerahan Dana Penyelidikan pada Rabu.
SEBAHAGIAN hadirin pada Majlis Penyerahan Dana Penyelidikan pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, usahawan dan personaliti ternama tanah air itu melakar satu lagi sejarah manis buat dirinya apabila dilantik sebagai Profesor Adjung di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Pengasas Kumpulan Syarikat Rizalman Ibrahim itu diberi kepercayaan untuk berkongsi ilmu dan pengalaman dengan penuntut, tenaga pengajar dan pengurusan di pusat pengajian tinggi terulung negara itu selama tiga tahun.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!