Rasuah: Keputusan rayuan bekas KSU, anak lelaki 20 Februari
PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 20 Februari tahun depan untuk menyampaikan keputusan berhubung rayuan bekas Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Mohd Arif Ab Rahman dan anak lelakinya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi pertuduhan rasuah.
Mohd Arif, 67, dan anaknya Ahmad Zukhairi, 42, didapati bersalah atas pertuduhan rasuah oleh Mahkamah Sesyen pada 2018, keputusan itu kemudian dikekalkan oleh Mahkamah Tinggi. Kedua-duanya membuat rayuan bagi sabitan dan hukuman penjara.
Peguam Mohd Arif, Datuk Hisyam Teh Poh Teik mengesahkan tarikh keputusan itu kepada Bernama hari ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan terdiri daripada Datuk Vazeer Alam Mydin Meera, Datuk Lim Chong Fong dan Datuk Azizul Azmi Adnan telah mendengar hujah daripada pihak pembelaan dan pendakwaan pada 22 Oktober lepas, namun menangguhkan keputusan mereka.
Hakim Vazeer yang mengetuai kes terbabit, kini dilantik ke Mahkamah Persekutuan.
Pada 14 November 2018, Mahkamah Sesyen mendapati Mohd Arif, 67, didapati bersalah atas tuduhan bersubahat dengan Ahmad Zukhairi menerima rasuah SGD$200,000 (RM627,833) daripada Pengarah Syarikat Wazlina Sdn Bhd, iaitu Safian Salleh.
Beliau didakwa menerima wang itu sebagai suapan dan dorongan untuk mendapatkan projek sistem solar hibrid di empat pulau terpencil di Sandakan, Sabah bernilai RM57.5 juta yang dianugerahkan kepada Syarikat Eramaz (M) Sdn Bhd, syarikat sekutu Syarikat Wazlina.
Perbuatan itu dilakukan di Royal Lake Club, Jalan Cenderamulia, Kuala Lumpur antara jam 4 petang hingga 7 malam pada 23 Ogos 2016.
Mohd Arif dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara dan denda RM3 juta atau penjara tiga tahun lagi jika gagal membayar denda.
Ahmad Zukhairi, seorang ahli perniagaan, dihukum penjara lima tahun dan denda RM9.6 juta atau 10 tahun penjara selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan meminta dan menerima rasuah daripada beberapa projek melibatkan kementerian terbabit pada 2016.
Rayuan mereka ditolak Mahkamah Tinggi pada 23 Mac 2021 menyebabkan kedua-duanya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!