Kesesakan kaunter: JIM tetapkan tempoh menunggu kurang 25 minit di KLIA
SEPANG - Khidmat kualiti Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menetapkan tempoh menunggu yang pendek sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) 85 peratus penumpang di balai ketibaan dan pelepasan.
Ini melibatkan tempoh masa menunggu bagi urusan kaunter kurang 25 minit di balai ketibaan, manakala tempoh kurang 20 minit di balai pelepasan.
Pengarah Imigresen KLIA, Ibrahim Mohd Yusof berkata, ini meliputi Terminal 1 dan Terminal 2.
Katanya, bagi transborder pula, 90 peratus penumpang disasar diselesaikan dalam tempoh kurang 10 minit.
"Berdasarkan prestasi bagi tahun ini setakat Oktober, sekitar 85 peratus penumpang di Terminal 1 dan 2 hanya menunggu kurang daripada 25 minit untuk mendapat kemudahan imigresen semasa ketibaan.
"Jumlah penumpang yang direkodkan di kedua-dua terminal ini juga berubah-ubah mengikut bulan dan paling tinggi dicatatkan lebih 800,000 orang," katanya dalam sesi libat urus bersama media di KLIA Terminal 1 di sini pada Khamis.
Beliau berkata, sebanyak 12 inisiatif telah ditetapkan bagi menangani kesesakan kaunter Imigresen di KLIA.
Katanya, antara inisiatif itu ialah peluasan sistem 'autogate' kepada pemegang pas lawatan jangka masa panjang dan pelawat asing dari 63 negara berisiko rendah, penubuhan dan penugasan Quick Response Team (QRT) bagi membantu pemeriksaan di kaunter manual serta penyediaan kaunter 'helpdesk'.
"Selain itu, kita juga akan memastikan jadual penggiliran syif pegawai JIM dipatuhi.
"Petugas JIM dan pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) boleh ditambah terutama ketika waktu puncak bagi menyuraikan kesesakan," katanya.
Dalam pada itu, JIM KLIA merekodkan 65 peratus atau 2,043 orang penghantaran pulang tahanan imigresen bagi tempoh 10 bulan tahun ini sejak Januari.
"Jumlah kemasukan tahanan imigresen yang dicatatkan pula sebanyak 3,145 orang," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!