Malaysia dilantik semula sebagai ahli UNCITRAL bagi penggal 2025-2031

Kementerian Luar Negeri. Gambar hiasan
Kementerian Luar Negeri. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia berjaya dilantik semula sebagai ahli Suruhanjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Perdagangan Antarabangsa (UNCITRAL) untuk tempoh enam tahun bagi penggal 2025-2031, menurut Kementerian Luar dalam satu kenyataan pada Khamis.

Pemilihan itu diadakan semasa Sesi ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York pada 20 Nov lepas, menyaksikan Malaysia memperoleh satu daripada lapan kerusi yang dipertandingkan dalam Kumpulan Asia Pasifik dengan bilangan undian tertinggi iaitu 179 daripada 183 negara.

"UNCITRAL memainkan peranan penting dalam membangunkan rangka kerja undang-undang rentas sempadan bagi memudahkan perdagangan dan pelaburan antarabangsa. Ia menggalakkan pengharmonian dan pemodenan undang-undang perdagangan antarabangsa secara progresif.

"Malaysia menjadi ahli UNCITRAL selama tiga penggal berturut-turut iaitu bagi penggal 2007-2013, 2013-2019 dan 2019-2025," menurut kenyataan itu.

Malaysia mengesahkan komitmennya untuk terus menyokong usaha UNCITRAL melalui penglibatan aktif dan menyumbang kepada pemerkasaan peranan institusi itu.

Ditubuhkan pada 1966, UNCITRAL ialah badan perundangan teras sistem PBB dalam bidang undang-undang perdagangan antarabangsa. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!