3 beranak maut, bayi parah dalam kemalangan

Keadaan di lokasi kemalangan di Lebuhraya Duke 2, di sini, pada Khamis. (Gambar kecil: Rusdi)
Keadaan di lokasi kemalangan di Lebuhraya Duke 2, di sini, pada Khamis. (Gambar kecil: Rusdi)
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Tiga beranak maut, manakala bayi lelaki parah dalam kemalangan di Kilometer 2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang 2 (DUKE) menghala Plaza Tol Segambut, di sini, pada Khamis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, sebelum kemalangan, pada jam 7.20 pagi, sebuah lori membawa produk makanan basah telah berhenti kerana kerosakan 'starter.

"Dalam masa sama, sebuah lagi lori telah parkir di belakang kenderaan itu untuk proses memindah barangan tersebut.

"Motosikal yang dinaiki keluarga itu disyaki telah memotong kenderaan lain dan gagal mengelak lalu melanggar belakang lori yang sedang memunggah barangan berkenaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Rusdi berkata, akibat kemalangan itu, penunggang motosikal berusia 37 tahun, isterinya, 27, dan anak perempuan berusia empat tahun maut.

"Manakala bayi anggaran usia setahun terselamat dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang," katanya.

Beliau berkata, siasatan mendapati pemilik lori bersama pekerjanya telah meletakkan lima kon.

"Dua pekerjanya pula membuat kawalan semasa pemindahan barangan tersebut," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut Rusdi berkata, proses bedah siasat mangsa telah selesai pada jam 2.30 petang.

"Jenazah kesemua mangsa telah dituntut oleh waris, solat jenazah dilaksanakan selepas solat asar di Masjid Jami'il Huda Kampung Melayu Ampang, Selangor.

"Jenazah telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!