Makruh pacak payung di atas pusara
MASIH ada segelintir masyarakat yang memacak payung kecil di atas kubur.
Tujuannya dikatakan untuk mengelak haiwan seperti anjing mengorek pusara tersebut.
Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menerusi artikel terbaharunya menegaskan, perbuatan meletakkan payung di atas kubur kerana mengikut adat semata-mata adalah makruh.
“Bahkan, ia termasuk dalam perkara bidaah dan sia-sia.
“Jika seseorang mempercayai perbuatan itu akan dapat memayungi jenazah di dalam pusara pula, ia merupakan satu bentuk khurafat kerana tiada nas tentang perkara tersebut,” katanya dipetik daripada artikel Al-Kafi #2008: Hukum memacak payung di atas kubur yang disiarkan menerusi laman web rasmi pejabat mufti berkenaan pada Khamis.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menjelaskan, hukum makruh itu adalah menurut Mazhab Syafie sebagaimana dinyatakan oleh Imam An-Nawawi.
Bukan sahaja payung, jelas pejabat mufti itu, meletakkan khemah atau bumbung di atas pusara juga termasuk antara perkara makruh menurut mazhab berkenaan.
“Hal itu berdasarkan larangan meletakkan patung di atas kubur, kubah, bumbung dan seumpamanya oleh Saidina Umar RA. Bahkan, beliau turut mengarahkan supaya ia dipindahkan.
“Ini kerana teduhan payung dan seumpamanya tidak dapat memberi apa-apa faedah ke atas si mati di dalam kubur melainkan amalannya sendiri yang akan menyelamatkannya,” katanya.
Menguatkan lagi pernyataan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan kemudian menukilkan pandangan dikemukakan oleh Imam Asy-Syarwani.
Imam Asy-Syarwani menyatakan, makruh hukumnnya meletakkan payung atau bumbung di atas pusara dengan tujuan tidak betul.
“Adapun, jika patung atau teduhan tersebut digunakan dengan tujuan yang betul seperti teduhan untuk orang ramai dari terik matahari, maka ia diharuskan.
“Al-Khatib Asy-Syirbini pula berpendapat, perkara itu merupakan bidaah yang telah diada-adakan oleh manusia.
“Namun, jika kita mempercayai bahawa dengan meletakkan payung di atas pusara dapat menduhkan jenazah di dalamnya, maka ia boleh dikategorikan sebagai satu kepercayaan yang khurafat,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!