PM mahu Malaysia jadi negara Madani yang hidupkan penghayatan roh Islam

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Malaysia dikenali sebagai negara Madani yang gigih berusaha memacu pertumbuhan, tetapi dalam masa yang sama menghidupkan penghayatan roh Islam.

Beliau berkata, kemajuan, pembangunan dan kemampanan dalam negara ini mesti berteraskan nilai, keyakinan, jati diri, akidah dan akhlak.

"Sebab itu, untuk menyemarakkan Islam, persiapannya, pencerahannya dan ilmu sangat penting.

"Kita mulakan mata pelajaran wajib bagi anak-anak Islam di semua sistem pendidikan negara untuk menelaah 40 hadis, terjemahannya dan syarahannya, tetapi kemuncak tentunya penguasaan ilmu dan hadis dan itu yang kita upayakan," katanya semasa berucap pada Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 di sini hari ini.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Antara ulama terkenal yang hadir menyemarakkan majlis ilmu itu ialah Mufti Besar India Sheikh Abu Bakar Ahmad al-Malibari, Sheikh Habib Ali Zaenal Abidin Abu Bakar, Sheikh Ismoil Muhammad Sadiq dari Uzbekistan dan Prof Dr Sheikh Yusri Rushd Jabar Al-Hasani dari Mesir.

Anwar berkata, penganjuran Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari diharap dapat meletakkan Malaysia sebagai negara yang menghidupkan roh Islam.

"Saya ingat lagi pesanan Al-Allamah Sheikh Abu Bakar, beliau pesan kepada saya apabila pegang jawatan sebagai Perdana Menteri, usahakanlah supaya ada majlis yang disebut Sama' Khatam Hadith Sahih Al-Bukhari setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

"Tahun lepas kita mulakan dengan sederhana dan alhamdulillah tahun ini kita saksikan kejayaan membanggakan," katanya.

Majlis Khatam Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa 2024 merupakan kemuncak penganjuran Majlis Sama’ Hadith Sahih Al-Bukhari Peringkat Antarabangsa yang telah bermula sejak 10 November lepas.

Dianjurkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan At-Taibah dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), program itu telah menerima penyertaan peserta dari dalam dan luar negara, seperti India, Arab Saudi, Mesir, Syria, Libya, Tunisia, Uzbekistan dan Indonesia. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!