Banjir bukan pesta, jangan terlalu seronok
RABU lalu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk di Kelantan, Terengganu dan Pahang sehingga Sabtu ini.
MetMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di Kota Tinggi, Johor juga dalam tempoh tersebut.
Kalau dahulu musim tengkujuh pada hujung tahun sinonim dikaitkan dengan Pantai Timur, tetapi kini negeri-negeri lain di Malaysia turut menerima tempias.
Sudah pasti, orang ramai terutama mereka yang tinggal terutama di Pahang, Terengganu dan Kelantan sudah membuat persiapan secukupnya dalam menghadapi bencana alam itu untuk sekian kalinya.
Peningkatan mendadak kadar taburan hujan ini memerlukan perhatian dan tindakan yang sewajarnya supaya tidak menjadi ‘bulan kematian’ akibat daripada kelemahan kita memahami risiko bencana banjir.
Banjir bukan masanya untuk berpesta walaupun paras airnya mungkin cetek dan tenang.
Tidak dinafikan, kematian akibat lemas di musim bah ada berlaku terutamanya di kawasan yang teruk dilanda bencana alam itu.
Ia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja tidak kira usia, bukan sahaja melibatkan orang dewasa, malah kanak-kanak dan golongan tua.
Andai terleka sedikit, berisiko menjadi korban arus banjir yang sangat deras, dan sering kali mangsa tidak dapat menyelamatkan diri.
Ini kerana arus yang kuat boleh menarik mangsa ke dalam air, dan dalam banyak kes, mangsa gagal untuk berenang atau melawan arus tersebut.
Orang yang tidak dapat berenang atau tidak mengetahui cara untuk mengendalikan diri dalam air banjir terutama kanak-kanak dan golongan tua lebih cenderung terdedah risiko.
Lebih membimbangkan, kanak-kanak sering kali teruja dengan air tetapi tidak menyedari bahaya bencana alam itu.
Mereka cenderung bermain di kawasan yang terjejas oleh banjir, terutamanya di kawasan air yang cetek, yang sebenarnya boleh menjadi sangat berbahaya jika arus air meningkat dengan cepat.
Justeru, tugas kita sebagai orang dewasa untuk memantau dan berpesan kepada anak-anak agar tidak bermain di sekitar kawasan banjir atau berhampiran dengan air yang mengalir kerana malang tidak berbau.
Andai berlaku tragedi yang tidak diingini itu, kita bukan sahaja kehilangan harta benda, malah meragut emosi seandainya ada ahli keluarga yang menjadi korban banjir akibat kecuaian.
Kita tidak mahu korban lemas akibat banjir berulang lagi. Elak bermain air bah, jaga diri dan keluarga serta pastikan sentiasa pantau amaran cuaca daripada pihak berkuasa atau media tempatan.
Jika ada amaran banjir, segeralah mengambil langkah berjaga-jaga dan elakkan pergi ke kawasan berisiko kerana mungkin bahaya tersembunyi menanti seperti lubang atau serpihan yang boleh menyebabkan kecederaan atau kematian.
Dalam pada itu, penulis menyambut baik langkah Kementerian Pendidikan yang bersiap sedia dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) kepada murid dan pelajar yang kawasan mereka terkesan akibat banjir.
Walaupun ia sebagai langkah andai sekolah itu tidak dapat meneruskan pendidikan seperti biasa kerana tempoh masa banjir berpanjangan, tapi dalam masa yang sama penulis percaya langkah itu juga mampu mengurangkan pergerakan pelajar terutama murid sekolah rendah di kawasan berisiko.
Apa pun, diingatkan sekali lagi, penting untuk kita meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan air dan mengambil langkah berjaga-jaga yang sewajarnya.
Kejadian lemas akibat banjir boleh dielakkan jika kita lebih berhati-hati, mengikut arahan pihak berkuasa dan memberi perhatian kepada persekitaran kita semasa musim hujan.
Jangan terlalu seronok bermain air banjir dan hujan kerana di hadapannya ada bahaya yang menanti.
* Wan Rosida Wan Hamad ialah Editor Pengisian Web Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!