Kos perjalanan PM ke lima negara ditaja swasta cetus perdebatan

Kos perjalanan PM ke lima negara ditaja swasta cetus perdebatan. Foto hiasan
Kos perjalanan PM ke lima negara ditaja swasta cetus perdebatan. Foto hiasan
A
A
A

SELEPAS lebih seminggu tidak menghadiri persidangan Dewan Rakyat kerana terlibat urusan rasmi mengadakan lawatan ke luar negara, kemunculan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis kembali menjadi tumpuan.

Ia susulan penjelasan Ahli Parlimen Tambun itu mengenai kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasmi beliau ke lima negara ditanggung syarikat swasta yang mengikuti urusan berkenaan mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

Anwar berkata, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan pembiayaan lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.

Tambahnya lagi, syarikat yang membantu itu juga mempunyai kepentingan perniagaan dan pelaburan di negara ini.

Di sebalik usaha Anwar untuk mengurangkan perbelanjaan negara dengan melaksanakan inisiatif berkenaan, namun ada pihak yang tampil mempersoalkan kaedah yang digunakan itu.

Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menyifatkan tindakan kerajaan menerima tajaan terhadap kos lawatan daripada syarikat swasta membuka pintu persoalan mengenai konflik kepentingan.

Selain itu, beliau juga mempersoalkan sama ada benar pihak berkenaan begitu bermurah hati atau menganggapnya sebagai pelaburan strategik dengan pulangan dijanjikan.

Sebelum ini media melaporkan, Anwar mengadakan lawatan ke Mesir, Arab Saudi, Peru dan Brazil bermula 9 November sehingga 19 November.

Artikel Berkaitan:

Lawatan selama 11 hari ke empat negara itu dimanfaatkan sepenuhnya untuk memperkukuh kerjasama strategik dan menjana potensi pelaburan besar bagi Malaysia.

Malah, ada pihak yang membangkitkan sama ada inisiatif dilakukan kerajaan ini memenuhi tatakelola seperti yang diperjuangkan Kerajaan Perpaduan selama ini.

Ini kerana menjadi kebimbangan mereka sekiranya syarikat swasta yang memberi tajaan itu bakal mendapat imbuhan tertentu.

Apa pun, usaha kerajaan untuk mengurangkan perbelanjaan negara dengan memperkenalkan inisiatif tertentu satu tindakan yang wajar diberikan pujian.

Namun, dalam masa sama rakyat juga tidak mahu melihat ada kumpulan atau pihak lain diberikan layanan istimewa hanya disebabkan membantu menaja program atau aktiviti kerajaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!