Dua jam solat Jumaat tidak jejas urus niaga, tingkat produktiviti

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Baharom
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kecil: Baharom
A
A
A

SHAH ALAM - Waktu rehat bagi sektor swasta pada hari Jumaat di Johor yang dilanjutkan kepada dua jam tidak akan menjejaskan urusan perniagaan sebaliknya bakal meningkatkan lagi produktiviti pekerja.

Pakar Ekonomi INCEIF University, Profesor Dr Baharom Abdul Hamid berkata, sudah menjadi lumrah tingkah laku manusia kerana jika dijaga dengan baik mereka akan jadi lebih gembira sekali gus mampu melonjakkan produktiviti kerja mereka.

“Ini satu langkah yang baik dan kalau ada yang kata ia mengurangkan waktu berurus niaga kerana waktu rehat dilanjutkan, bagi saya ia (waktu urus niaga yang dikurangkan) hanyalah tempoh yang singkat.

“Saya berpendirian apabila rakyat sihat dan selesa, maka ia akan diterjemahkan melalui budaya kerja dan produktiviti yang lebih baik seterusnya ia akan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Johor secara keseluruhannya,” katanya kepada Sinar Harian.

Baharom menegaskan, beliau yakin waktu rehat yang ditambah sedikit tersebut tidak memberi apa-apa kesan buruk kerana orang akan menyesuaikan diri dengan waktu baharu yang ditetapkan.

“Ia hanya memerlukan sedikit masa untuk orang menyesuaikan diri dan selepas itu orang sudah tahu pada sekian-sekian masa kaunter atau perniagaan ditutup.

“Ia akan elakkan pekerja swasta tergesa-gesa untuk tunaikan solat Jumaat kalau waktu rehat tidak dipanjangkan. Bila waktu rehat yang secukupnya diberi maka impaknya akan ke arah positif.

“Kalau kita lihat kajian dan pandangan rata-ratanya menyatakan bahawa sekiranya kebajikan pekerja dijaga maka mereka akan diterjemahkan kepada budaya kerja yang lebih sihat,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Baharom berharap supaya suatu pengukuran dari segi pertumbuhan ekonomi Johor dan syarikat-syarikat swasta di negeri itu dapat dibuat dalam tempoh enam bulan selepas ketetapan itu dilaksana.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!