SPRM perlu lebih agresif banteras rasuah

Pengiktirafan negara luar terhadap tindakan SPRM menangani kegiatan rasuah negara ini merupakan satu perkara positif. Gambar kecil: Zainal Adnan
Pengiktirafan negara luar terhadap tindakan SPRM menangani kegiatan rasuah negara ini merupakan satu perkara positif. Gambar kecil: Zainal Adnan
A
A
A

SHAH ALAM - Pengiktirafan negara luar terhadap tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani kegiatan rasuah negara ini merupakan satu perkara positif, namun masih memerlukan inisiatif lebih agresif untuk memperkukuhkan kedudukan tersebut.

Yang Dipertua Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Kuala Lumpur, Zainal Adnan Abdul Halim berkata, ini kerana masih banyak ruang yang belum ditutup untuk menghapuskan kegiatan itu, walaupun pelbagai inisiatif telah dilaksanakan.

“Pemberian kuasa bebas kepada agensi berkaitan pembanterasan rasuah seperti SPRM perlu terus dilaksanakan.

“Agensi itu perlu bebas sepenuhnya daripada campur tangan politik dan diberi kuasa untuk menyiasat kes-kes besar.

“Selain itu, reformasi politik dan pentadbiran awam perlu terus dilaksanakan tanpa henti,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, ketegasan kerajaan memerangi kes rasuah hingga ke peringkat akar umbi bukan sahaja berjaya meningkatkan imej negara dari segi indeks persepsi rasuah malah mendapat pengiktirafan negara luar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hal itu dibuktikan apabila kerajaan Qatar meminta SPRM bekerjasama merangka program pembanterasan rasuah di negara-negara Islam.

Selain itu, Zainal Adnan menyarankan bahawa semua ahli politik dan penjawat tinggi sektor awam mesti diwajibkan mengisytiharkan aset secara terbuka setiap tahun untuk mengelakkan penyalahgunaan kuasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sumbangan kewangan kepada parti politik perlu dikawal untuk mengelakkan pengaruh pihak tertentu yang boleh menyebabkan berlakunya rasuah.

“Kerapkan penggiliran jawatan dan pertukaran pegawai di posisi yang sensitif seperti bahagian kewangan, projek atau tender kerajaan untuk mengelakkan rangkaian rasuah daripada terus berlaku,” tambahnya.

Di tangan mengenai tindakan perlu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, Zainal Adnan menjelaskan kerajaan wajar mengintegrasikan modul antirasuah dalam kurikulum pendidikan.

“Ini termasuk permainan dan aktiviti interaktif yang boleh menanam nilai integriti sejak kecil.

”Pelbagaikan kempen melalui media sosial, televisyen dan platform lain untuk memberi isyarat bahawa rasuah akan merosakkan kehidupan semua pihak jika tidak dibanteras,” tegasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!