66 mangsa banjir di Perak dipindahkan, dua sungai di Kelantan paras pada berjaga-jaga
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 66 mangsa banjir daripada 30 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Orang Ramai Simpang Halt di daerah Larut, Matang dan Selama hari ini setelah beberapa kawasan di daerah itu dinaiki air.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dalam kenyataan memaklumkan kesemua mangsa dari Kampung Simpang Halt yang terjejas berlindung di PPS berkenaan sejak 10 malam tadi.
Jabatan Pengairan dan Saliran Perak pula memaklumkan paras air Sungai Perak di Sungai Rui di Jambatan Jalan Raya Perak di Hulu Perak berada pada paras amaran iaitu setinggi 165.55 meter (m) berbanding paras normal 165.10m.
Pada masa sama, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kebanyakan daerah di Perak antaranya Larut, Matang dan Selama, Kerian, Perak Tengah, Hilir Perak, Kuala Kangsar serta Kinta diramalkan berlaku ribut dan hujan pada sebelah petang serta malam.
Di TERENGGANU, keadaan banjir tidak berubah dengan 29 mangsa ditempatkan di sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) di Kemaman, setakat 8 pagi ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) memaklumkan kesemua mangsa daripada enam keluarga itu masih lagi berlindung di Balairaya Padang Kemunting di Kemaman.
Menurut laman web publicinfobanjir.water.gov.my paras air di Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik dan Sungai Kemaman di Jambatan Air Putih di Kemaman; Sungai Nerus di Kampung Langkap dan Sungai Nerus di Kampung Bukit di Setiu; dan Sungai Tersat di Kampung Sekayu di Hulu Terengganu, berada pada paras amaran dan menunjukkan trend menaik.
Di KELANTAN, dua sungai utama merekodkan bacaan melebihi paras berjaga-jaga setakat jam 9 pagi ini.
Berdasarkan publicinfobanjir.water.gov.my, Sungai Golok di Rantau Panjang mencatatkan bacaan 8.0 meter berbanding paras berjaga-jaga iaitu 7.0 meter dengan trend menaik, manakala Sungai Melor di Jambatan Bachok merekodkan 7.57 meter dengan trend menaik.
Sungai Semerak di Pasir Puteh pula menunjukkan bacaan melebihi paras amaran iaitu 2.6 meter berbanding bacaan amaran 2.3 meter dengan trend menaik. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!