Imam At-Tabari 'guru besar' ahli tafsir

Kepintaran dalam pelbagai ilmu pada zamannya begitu mengagumkan dan menjadi rujukan hingga ke hari ini

AT-TABARI dikenali sebagai tempat rujukan pendapat dan fatwa lantaran kepakarannya menguasai seluruh ilmu yang tidak ditandingi pada zamannya.
AT-TABARI dikenali sebagai tempat rujukan pendapat dan fatwa lantaran kepakarannya menguasai seluruh ilmu yang tidak ditandingi pada zamannya.
A
A
A

BAGI mereka yang selalu membelek lembaran tafsir al-Quran, nama Imam At-Tabari pasti tidak asing lagi kerana beliau antara ilmuwan tafsir terulung yang menjadi rujukan sehingga ke hari ini.

Pemilik nama penuh Abu Ja'far Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib At-Tabari itu dilahirkan pada tahun 838 Masihi di Amul, wilayah Tabaristan (Iran).

Menjejaki salasilahnya, At-Tabari sememangnya beruntung kerana bapanya, Jarir bin Yazid tidak pernah jemu memberikan pendidikan, pertarbiahan agama dan kerohanian sejak kecil lagi.

Tidak hairanlah apabila At-Tabari mula menunjukkan kecerdikannya pada usia muda hingga berjaya menghafaz al-Quran ketika umurnya tujuh tahun.

Menginjak usia lapan tahun, At-Tabari telah diiktiraf sebagai imam. Setahun kemudian, beliau sudah menunjukkan kecenderungannya menulis hadis.

 SEJAK kecil lagi, aktiviti harian Imam At-Tabari banyak tertumpu kepada belajar, mengajar dan menulis.
SEJAK kecil lagi, aktiviti harian Imam At-Tabari banyak tertumpu kepada belajar, mengajar dan menulis.

Tidak seperti rakan-rakan seusianya yang lain, figura masyhur itu dilaporkan banyak menerokai kehidupan intelektual sejak muda hinggakan umur remajanya didedikasikan untuk mengumpul riwayat berkaitan Arab dan Islam.

Istiqamah tulis 40 halaman setiap hari

Artikel Berkaitan:

Laman web tafsiralquran.id melaporkan, At-Tabari mula mengembara saat usianya 12 tahun. Dari Mesir, kemudian ke Syam dan Iraq, beliau berkelana demi memenuhi kehausannya terhadap pengetahuan sebelum 'berlabuh' di Baghdad.

Aktiviti hariannya banyak tertumpu kepada belajar, mengajar dan menulis.

Memetik laporan kagat.army.mil.my, Ali bin Ubaydullah Al-Lughawi As-Simsimi menyatakan, At-Tabari menghabiskan masa selama 40 tahun untuk mengarang.

"Anak muridnya, Ibnu Kumayl menerangkan bagaimana kehidupan gurunya, At-Tabari membahagikan waktu setiap hari. Kesungguhan dan kecintaan At-Tabari dalam bidang penulisan dan ilmu sangat hebat hingga dilaporkan beliau istiqamah menulis sebanyak 40 halaman satu hari.

"Di samping itu, beliau juga menyampaikan pengajian al-Quran dan tafsir di masjid pada setiap petang. Pada sebelah malamnya, usai solat Maghrib di masjid, beliau akan meluangkan masa untuk mengajar fiqh sebelum pulang ke rumah," katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web itu.

Dari segi penampilannya, At-Tabari diriwayatkan berkulit sawo matang, bertubuh tinggi dan rambut serta janggut berwarna hitam.

Kompas.com melaporkan, beliau faqih dalam banyak disiplin ilmu sehingga pada zamannya digambarkan sukar untuk menemukan ulama yang menguasai pelbagai pengetahuan sebagaimana figura hebat berkenaan.

Memetik laporan portal berita Alarabiya News, Imam At-Tabari digambarkan berperwatakan jujur, zuhud, baik tutur kata, tidak pernah cenderung menyakiti sesiapa, apalagi bersifat sombong mahupun menyimpan dendam.

AT-TABARI telah menghabiskan masa selama 40 tahun untuk mengarang dan istiqamah menulis sebanyak 40 halaman satu hari.
AT-TABARI telah menghabiskan masa selama 40 tahun untuk mengarang dan istiqamah menulis sebanyak 40 halaman satu hari.

"Beliau membataskan kehidupannya dengan pendapatan kebun yang diwarisi daripada bapanya. Malah, beliau menolak sebarang pemberian daripada raja dan orang lain," katanya sebagaimana dipetik menerusi portal berita itu.

Ilmu dimiliki tiada tandingan pada zamannya

Sesungguhnya, ketinggian ilmu dimiliki At-Tabari dalam bidang tafsir diperakui ramai sehinggakan beliau dianggap sebagai 'guru besar' kepada para ahli tafsir.

Malah, pengetahuannya tidak terbatas kepada lapangan itu, tetapi cendekiawan itu turut menguasai pelbagai disiplin ilmu lain. Oleh sebab itu beliau turut digelar imam mujtahid mutlak, ahli hadis, ahli sejarah, fiqh, usul fiqh dan bahasa.

Menurut pengarang kitab Tarikh al-Baghdad, Khatib Al-Baghdadi sepertimana dilaporkan dalam laman web detik.com, At-Tabari ialah salah seorang ulama besar yang pendapatnya menjadi rujukan umat dan masyarakat kerana ilmunya yang mendalam dan luas serta keluhuran budi pekertinya.

"At-Tabari memiliki pelbagai ilmu yang tidak dimiliki oleh orang lain pada zamannya. Beliau menghafaz al-Quran dan memahami kandungannya dengan sangat baik. Beliau seorang ahli fiqh, menguasai hadis-hadis Nabi Muhammad SAW secara mendalam dan luas.

 ANTARA karya agung Imam At-Tabari yang menjadi rujukan ramai sehingga ke hari ini.
ANTARA karya agung Imam At-Tabari yang menjadi rujukan ramai sehingga ke hari ini.

"Bahkan, beliau juga memahami pendapat para sahabat Nabi Muhammad SAW dan generasi seterusnya," katanya dipetik dalam buku bertajuk Ulama dan intelektual yang memilih menjomblo.

Bukan itu sahaja, laman web tafsiralquran.id melaporkan, At-Tabari dikenali sebagai tempat rujukan pendapat dan fatwa lantaran kepakarannya menguasai seluruh ilmu yang tidak ditandingi pada zamannya.

Bahkan, dua mahakarya cetusannya iaitu Jami' al-Bayan fi tafsir al-Quran dalam bidang tafsir dan Tarikh al-Umam wa al-Muluk (sejarah) turut menjadi rujukan pengkaji pengajian Islam.

Jami' al-Bayan fi tafsir al-Quran yang dikenali sebagai Tafsir al-Quran atau At-Tafsir atau Tafsir At-Tabari misalnya ialah kitab tafsir 30 juzuk yang terdiri daripada beberapa jilid. Semua ulama al-Quran dari Timur dan Barat bersetuju dengan ketinggian monumental agung itu

"As-Suyuti percaya bahawa karya At-Tabari ialah karya tafsir yang paling hebat dan mengandungi pelbagai penjelasan saintifik, manakala Imam An-Nawawi percaya bahawa tiada siapa yang dapat menandingi karya At-Tabari.

"Cendekiawan Barat seperti Noldeke mengatakan, jika seorang ahli tafsir telah membaca karya At-Tabari, maka dia tidak memerlukan karya tafsir yang terkini," katanya sebagaimana dipetik menerusi laman web tafsiralquran.id.

Melihat fakta itu, sesuailah At-Tabari mendapat jolokan bapa tafsir.

PROFIL

SELAIN bidang tafsir, Imam At-Tabari menguasai pelbagai disiplin ilmu lain seperti hadis, sejarah, fiqh, usul fiqh dan bahasa.
SELAIN bidang tafsir, Imam At-Tabari menguasai pelbagai disiplin ilmu lain seperti hadis, sejarah, fiqh, usul fiqh dan bahasa.

Nama penuh: Abu Ja'far Muhammad bin Jarir bin Yazid bin Kathir bin Ghalib At-Tabari

Nama panggilan: At-Tabari

Asal: Amul, wilayah Tabaristan, Iran

Tahun kelahiran: 838 Masihi

Tahun kematian: 923 Masihi

Sumbangan:

- Dianggap sebagai tokoh kepada sejarah Islam dan pelopor ilmu tafsir.

- Mahakaryanya, Jami' al-Bayan fi tafsir al-Quran dan Tarikh al-Umam wa al-Muluk dianggap muktabar dalam kategori masing-masing iaitu dalam bidang tafsir dan sejarah.

Karya agung:Jami' al-Bayan fi tafsir al-Quran(Tafsir at-Tabari) dan Tarikh al-Umam wa al-Muluk

*Foto: geotimes.id, mahadlyjakarta.com, sifatusafwa.com, sunofsunnah.com, alchetron.com, geotimes.id & kitaabun.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!