Rempuh treler, tukang masak warga Thailand maut kemalangan di LPT2
HULU TERENGGANU - Seorang tukang masak warganegara Thailand maut selepas van dinaikinya merempuh sebuah treler di Kilometer 395.2 Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, mangsa, Marowi Charu, 41, dari Yala, Thailand maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan.
Beliau berkata, kemalangan yang berlaku kira-kira jam 9.30 malam itu melibatkan sebuah treler jenis Scania yang membawa muatan kayu palet dengan sebuah van jenis Toyota Hiace yang dinaiki tiga lelaki warganegara Thailand.
"Siasatan awal mendapati kemalangan berpunca apabila van dipandu oleh lelaki warga Thailand itu secara tiba-tiba telah melanggar bahagian belakang treler tersebut yang berada di lorong kiri.
"Van tersebut kemudian berpusing dan melanggar besi penghadang jalan di sebelah kiri. Akibat daripada kejadian itu, penumpang bahagian hadapan van tersebut telah putus kaki kiri dan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian anggota badan," katanya dalam kenyataan di sini pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Zainul Mujahidin berkata, pemandu dan penumpang bahagian belakang van itu telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk menerima rawatan lanjut manakala pemandu serta penumpang tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.
Katanya, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk bedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!