Ulul albab tonggak masyarakat
Kenali ciri-ciri penting pendakwah ulul albab disebut al-Quran dalam melahirkan ummah cemerlang
PERKATAAN ulul albab merupakan istilah al-Quran yang merujuk kepada golongan manusia yang mempunyai kebijaksanaan, ketakwaan dan kepekaan spiritual tinggi sehingga mereka tidak lalai daripada berfikir, berzikir serta mengambil iktibar daripada setiap inci penciptaan alam ini.
Justeru, pendakwah dilihat sebagai sebahagian daripada golongan ulul albab yang menjadi tonggak penting dalam pembangunan masyarakat dalam membina generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan bertanggungjawab selain guru dan ibu bapa.
Jika dinilai dalam konteks Malaysia Madani, pendakwah dilihat sebagai insan yang berperanan dalam membantu merealisasikan visi negara untuk mencapai masyarakat yang adil, harmoni dan beretika.
Oleh sebab itu, betapa pentingnya pendakwah untuk mengetahui ciri-ciri ulul albab yang disebutkan oleh al-Quran agar dapat direalisasikan mengikut aspirasi negara.
Berikut sifat-sifat pendakwah ulul albab:
1. Beriman dan sentiasa bertakwa kepada ALLAH SWT
Ketahuilah bahawa ciri-ciri utama pendakwah ulul albab adalah keimanan yang teguh kepada ALLAH SWT. Ini mencerminkan tanggungjawab besar untuk sentiasa mendidik dengan amanah dan integriti.
Ini kerana pendakwah yang mempunyai sifat itu akan memastikan bahawa pendidikan disampaikan bukan sahaja bertujuan untuk mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga membina insan seimbang dari segi spiritual dan moral.
Dengan keimanan itu jugalah ia sebenarnya menyuburkan sifat tanggungjawab dan jujur dalam menjalankan amanah selaku pendakwah.
2. Berilmu dan menyampaikannya secara berhikmah
Ia merupakan antara ciri penting yang ada dalam diri pendakwah ulul albab. Tidak mudah untuk mendidik dan membimbing orang lain. Semua itu memerlukan pengetahuan dan kreativiti.
Bukan itu sahaja, mereka perlu berhikmah dalam penyampaian ilmu. Hikmah yang dimaksudkan melibatkan kebijaksanaan dalam memilih pendekatan pengajaran yang paling sesuai dengan keperluan masyarakat.
Dalam dakwah, penyampaian yang penuh hikmah akan memastikan semua orang mendapat peluang yang sama untuk mendapatkan ilmu.
3. Berakhlak muliaItulah antara sifat penting bagi pendakwah ulul albab
Ini kerana akhlak yang baik bukan sahaja menjadi cerminan kepada diri sendiri, tetapi turut dijadikan teladan kepada generasi muda.
Semua itu akan membantu dalam pembinaan generasi beretika dan berdisiplin. Mengertilah, akhlak mulia merupakan asas kepada pembangunan masyarakat yang harmoni.
Seperkara lagi, pendakwah yang mempunyai budi pekerti yang luhur akan mendidik masyarakatnya untuk menghargai nilai-nilai moral seperti hormat, kesopanan dan toleransi.
Sesungguhnya nilai-nilai mulia itu akan menjadi tiang utama dalam masyarakat sejahtera.
4. Sabar dan ikhlas dalam menyampaikan ilmu, dakwah
Tanpa kedua-dua sifat itu, semakin sukarlah usaha untuk mendidik generasi muda. Banyak cabaran perlu direntas terutama dalam memastikan semua lapisan masyarakat dapat perhatian sewajarnya.
Pendakwah yang ikhlas pastinya tidak hanya mengajar sekadar memenuhi tanggungjawab duniawi, bahkan kepatuhan masyarakat terhadap syariat ALLAH SWT tetap menjadi keutamaan yang hakiki.
5. Sentiasa mengingati ALLAH SWT
Sebagai seorang hamba ALLAH, sudah tentu kita perlu mengingati-NYA setiap detik. Ia juga merupakan ‘kunci’ bagi pendakwah ulul albab sentiasa dalam landasan yang betul.
Setiap usaha yang dilakukan dalam bidang dakwah hendaklah dihubungkan dengan nilai-nilai ketuhanan dan moral, pendakwah yang sentiasa mengingati Tuhannya akan mengajar masyarakat dengan penuh rasa tanggungjawab.
Ini kerana mereka sedar dengan amanah tersebut bukan sahaja bagi mendidik untuk dunia semata-mata, tetapi juga untuk akhirat jua.
6. Dakwah dengan penuh kasih sayang
Dalam berdakwah, ia perlu disulami dengan sifat kasih sayang. Elemen itu begitu penting dalam melahirkan masyarakat yang yakin dan berdaya saing.
Dengan sifat kecintaan itulah, ia akan membina hubungan baik antara pendakwah dengan mad'u (orang yang didakwah), selain mencipta suasana pembelajaran kondusif.
Malah, mendidik dengan kasih sayang melambangkan keprihatinan dan kesejahteraan sosial. Ia mewujudkan suasana yang membolehkan masyarakat berkembang secara holistik bukan sahaja dari segi akademik, tetapi juga dari segi emosi dan spiritual mereka.
7. Mendahulukan kepentingan ummah
Citra pendakwah ulul albab pastinya akan melebihkan kepentingan ummah atau masyarakat berbanding dirinya sendiri.
Begitu jugalah acuan diterapkan dalam Malaysia Madani yang mengajar setiap individu untuk mengutamakan kepentingan bersama berbanding perihal peribadi.
Apatah lagi pendakwah yang mendahulukan ummah akan mengajar masyarakat untuk bertanggungjawab, memahami isu-isu semasa dan menyumbang kepada kebaikan bersama. Semua itu penting dalam membina negara bersatu dan progresif.
Tuntasnya, ciri-ciri pendakwah ulul albab yang berlandaskan ajaran al-Quran sebagaimana disebutkan begitu memberikan pengaruh besar dalam pembinaan generasi masa hadapan yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, bahkan juga bermoral tinggi dan bertanggungjawab.
Ingatlah, pendakwah ulul albab adalah cerminan ideal dalam usaha melahirkan ummah yang cemerlang dunia dan akhirat.
*Artikel ditulis oleh pendakwah, Ustaz Mohd Ridwan Razali
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!