Pelajar rentas Sungai Golok: JIM sedia laksana keputusan dibuat kerajaan
KUALA LUMPUR - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bersedia untuk melaksanakan segala keputusan kerajaan Persekutuan berhubung isu pelajar dari Thailand merentas Sungai Golok untuk bersekolah di Rantau Panjang, Kelantan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Zakaria Shaaban berkata, secara amnya tugas JIM meliputi pintu masuk yang diwartakan manakala yang tidak diwartakan di bawah bidang kuasa agensi yang mengawal keselamatan sempadan negara seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Penutupan pintu masuk haram berkenaan memang di bawah bidang kuasa polis.
"Cuma isu berbangkit adalah pelajar sekolah yang berulang-alik (merentas Sungai Golok), bagi pihak JIM kami bersedia untuk melaksanakan apa sahaja keputusan dibuat oleh kerajaan berhubung perkara ini dan apa yang dibangkitkan ialah isu pintu sempadan yang dibuka mulai 7 pagi.
“Ada yang bertanya sama ada kita akan buka lebih awal dan sebagainya, bagi JIM kita bersedia, tiada masalah namun bergantung keputusan pihak kerajaan,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Deepavali JIM Kuala Lumpur di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), di sini pada Khamis.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi), Jafri Embok Taha dan Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, setakat ini kaunter-kaunter di pintu sempadan Golok-Kelantan mula beroperasi seawal 7 pagi namun ia menyukarkan pelajar untuk ke sekolah tepat pada waktunya.
Katanya, jika ada kata putus daripada pihak kerajaan dan perlu juga mengambil kita persetujuan pihak berkuasa Thailand, pihak JIM bersedia melaksanakan apa sahaja mekanisme yang dicadangkan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas berhubung isu penyeludupan warga asing beliau berkata, JIM akan terus mengambil tindakan yang tegas bagi membendung kegiatan itu.
Katanya, operasi penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan sebagai sebahagian hala tuju JIM menuju tahun 2025 bagi membanteras kebanjiran pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pada Khamis, Sinar Harian melaporkan kerajaan Kelantan mahu kerajaan Persekutuan segera mencari mekanisme bagi menyelesaikan isu hampir 500 pelajar sekolah dari negara Thailand yang menaiki bot di pangkalan haram Sungai Golok untuk ke sekolah di Rantau Panjang.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, ia bagi menggelakkan pelajar berkenaan turut terkena tempias dalam usaha membanteras penyeludupan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!