Tak pinggir Orang Asli: MB Perak

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua, kanan) beramah mesra dengan Tok Batin pada Program Kembara Prihatin Majlis Senator Malaysia 'Merakyatkan Dewan Negara' di Perkampungan Orang Asli Pos Yum, Sungai Siput, hari ini.- Foto Bernama
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (dua, kanan) beramah mesra dengan Tok Batin pada Program Kembara Prihatin Majlis Senator Malaysia 'Merakyatkan Dewan Negara' di Perkampungan Orang Asli Pos Yum, Sungai Siput, hari ini.- Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI SIPUT - Kerajaan Perak di bawah pimpinan PH sentiasa komited membela nasib masyarakat Orang Asli sepanjang masa dan tidak hanya menghulurkan bantuan secara bermusim terutamanya ketika menjelang pilihan raya.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihaknya hanya mahu membebaskan masyarakat Orang Asli ini daripada kepompong kemiskinan supaya mereka tidak lagi bergantung kepada pemerintah.

“Sebelum ini, sesetengah pihak beranggapan Orang Asli adalah deposit tetap undi kepada kerajaan setiap lima tahun sekali.

"Apa yang kita mahu lakukan adalah sama-sama pastikan supaya tiada lagi diskriminasi buat kaum Orang Asli, tidak lagi hanya dipandang atau dikenang apabila tiba musim pilihan raya sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program Kembara Prihatin Majlis Senator Malaysia yang turut dihadiri Presiden Majlis Senator Malaysia, Datuk Seri Khairuddin Abd Samad di Perkampungan Orang Asli Pos Yum di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata kerajaan negeri juga tidak akan sama sekali meminggirkan masyarakat Orang Asli dari aspek pembangunan.

"Sebagai contoh, dalam tempoh dua bulan setelah PH mengambil alih pemerintahan negeri, saya telah mencadangkan supaya syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah kerajaan negeri menjadikan penempatan Orang Asli sebagai kampung angkat bagi menggerakkan pembangunan sosioekonomi dan pendidikan secara lebih holistik.

"Sebagai kerajaan negeri yang bertanggungjawab, pentadbiran ini mempunyai visi untuk memajukan masyarakat Orang Asli secara menyeluruh supaya dapat bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) telah mengambil dua penempatan orang Asal di Kampung Perah, Gerik serta Kampung Ulu Bekor di Kuala Kangsar sebagai kampung angkat dan akan diperluaskan ke perkampungan Orang Asli yang lain pada tahun ini.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal berkata beliau selaku pemimpin di negeri itu mahu membantu mengubah pemikiran rakyat terhadap kaum minoriti itu dalam usaha membantu membangunkan masyarakat Orang Asli.

"Kita mahu masyarakat Orang Asli benar-benar mampu keluar daripada garis kemiskinan dan menikmati hidup yang lebih selesa.

"Saya berpegang kepada prinsip bahawa kemiskinan bukan untuk diwarisi. Kita boleh mengubahnya dan saya amat yakin masyarakat ini mampu berubah," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!