Bina asas kuat ketika berguru sebelum guna AI

ASAS agama yang kuat perlu diterapkan ibu bapa dan guru sejak kecil. Foto CANVA
ASAS agama yang kuat perlu diterapkan ibu bapa dan guru sejak kecil. Foto CANVA
A
A
A

ISLAM tidak melarang umatnya menggunakan inovasi atau apa sahaja perkara yang boleh memberikan manfaat kepada penganutnya.

Aplikasi terkini dan penggunaan teknologi adalah inovasi yang membantu manusia dalam pelbagai urusan harian mereka termasuk dalam hal pendidikan dan pembelajaran.

Meskipun begitu, aplikasi dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) ini masih belum dapat menggantikan sentuhan kemanusiaan yang diperlukan dalam proses pembelajaran manusia terutamanya dalam hal-hal keilmuan berkaitan agama Islam.

Begitulah pembuka kalam Pensyarah Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Ustaz Mohammad Baihaqi Md Yusnan ketika ditemu bual Sinar Islam Plus.

Menurutnya, proses pendidikan ini fokusnya bukan hanya pada proses menyampaikan maklumat semata-mata, bahkan juga merangkumi pelbagai aspek lain semisal memberi insipirasi kepada pelajar.

USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI
USTAZ MOHAMMAD BAIHAQI

“Proses itu juga memahami keperluan psikologi pelajar, menyokong mereka ketika menghadapi kekecewaan atau kekeliruan dan memberi motivasi serta rangsangan kepada mereka.

Artikel Berkaitan:

“Di sinilah peranan guru yang tidak ada pada sekalian inovasi dan teknologi sedia ada sekarang,” ujarnya.

Tambah pensyarah itu, guru bukan sekadar menyampai ilmu, tetapi juga menjadi contoh teladan, sumber ketenangan dan penasihat yang membantu pelajar mengatasi cabaran peribadi dan akademik mereka.

“Sentuhan kemanusiaan inilah yang diperlukan pelajar untuk membina karakter, peribadi dan keilmuan mereka,” jelasnya lagi.

Wajib berguru dalam ilmu agama

Mengulas mengenai hukum belajar agama melalui teknologi AI dan aplikasi, beliau menjelaskan, jawapannya adalah wajib berguru terlebih dahulu bagi perkara tersebut.

“Ini kerana banyak perkara berkaitan agama seperti memahami al-Quran, memahami hadis, perbahasan isu-isu berkaitan akidah dan tauhid, tidak boleh diambil dan difahami maknanya secara literal semata-mata.

“Bahkan ia perlu dilihat maksudnya secara holistik dan menyeluruh. Jika tidak, pelbagai salah fahaman akan berlaku.

“Sebaliknya bagi ilmu keduniaan, maka tiada salahnya mempelajari sendiri tanpa melalui guru seperti subjek Matematik, bahasa dan sebagainya,” hurainya.

Hujahnya lagi, Nabi Muhammad SAW telah menunjukkan suri teladan yang terbaik dalam proses pembelajaran, sesuai dengan sifatnya yang dimaterikan ALLAH SWT dalam ayat ke-21 surah al-Ahzab: “Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik.”

Tambah Ustaz Mohammad Baihaqi, suri teladan itu termasuklah proses mengajar umatnya untuk menjadi guru yang terbaik.

“Dalam banyak keadaan, Baginda menunjukkan sifat guru yang baik dengan memuji orang yang bertanya.

“Selain itu, Rasulullah SAW juga memberikan contoh pembelajaran yang baik apabila Baginda tidak membataskan pembelajaran tertumpu pada tempat atau keadaan tertentu sahaja apabila menjawab dan mengajarkan agama di mana-mana dan bila-bila masa sahaja,” hurainya.


PENGGUNAAN teknologi seperti AI dan aplikasi dalam talian untuk belajar dibolehkan namun dalam perkara berkaitan agama, umat Islam wajib berguru terlebih dahulu. Foto CANVA
PENGGUNAAN teknologi seperti AI dan aplikasi dalam talian untuk belajar dibolehkan namun dalam perkara berkaitan agama, umat Islam wajib berguru terlebih dahulu. Foto CANVA

Ketika diminta hukum atau fatwa di jalanan, Baginda terus menyatakannya dan begitu juga di pelbagai majlis, semasa bermusafir, ketika keadaan tenang mahupun dalam suasana perang, ujarnya.

Asas kuat sebelum guna AI

Berbalik kepada penggunaan teknologi dalam proses pembelajaran, pensyarah itu menasihatkan, para pelajar perlu membina asas yang kuat dalam diri terlebih dahulu dari pelbagai sudut.

“Ia termasuk dari sudut keilmuan, pengetahuan, pengalaman dan keperibadian pelajar itu.

“Asas-asas ini mestilah digarap dan dipelajari daripada guru-guru yang mutqin (menguasai keilmuan), mursyid (mempunyai ketokohan dan kebijaksanaan) serta muaddib (memiliki keperibadian yang baik dan mampu memotivasikan murid).

“Setelah asas tersebut sudah dibina, maka gunakanlah apa-apa sahaja teknologi untuk membantu kita dalam mendapatkan ilmu,” hurainya panjang.

Ujarnya lagi, Imam Asy-Syafie dalam satu puisi indah berkata: “Saudaraku, kamu takkan memperoleh ilmu melainkan dengan enam perkara. Aku khabarkan buatmu dengan terperinci iaitu kecerdikan, disiplin, kesungguhan, bekalan dan melazimi guru dalam tempoh yang panjang.”

“Belajar sifatnya berpanjangan dan memerlukan masa yang lama. Ia tidak berlaku dengan proses yang cepat atau segera.

“Bahkan perlunya seseorang pelajar itu melazimi guru untuk mendapatkan ilmu pengetahuan dan itulah hakikat yang perlu kita sedari,” jelasnya.

PENTINGNYA berguru bukan sekadar memahami dengan lebih mendalam, bahkan turut merangkumi aspek adab dan akhlak ketika proses pembelajaran berlangsung. Foto CANVA
PENTINGNYA berguru bukan sekadar memahami dengan lebih mendalam, bahkan turut merangkumi aspek adab dan akhlak ketika proses pembelajaran berlangsung. Foto CANVA

Adab-adab pelajar bersama guru

Menurut Imam An-Nawawi seperti ditulis dalam kitabnya, Majmu' Syarh al-Muhazzab menyebutkan beberapa adab yang perlu ada pada pelajar:

1- Berusaha mencari keredaan guru walau bertentangan dengan pandangan sendiri.

2 - Tidak mengumpat di hadapan guru.

3 - Tidak membocorkan rahsia guru.

4 - Mempertahankan guru.

5 - Tidak memasuki tempat guru sebelum diizinkan.

6 - Mendahulukan guru.

7 - Masuk ke tempat guru dengan rasa hormat dan hati lapang, bersih, berwuduk serta kemas.

8 - Duduk dengan cara duduk seorang pelajar.

9 - Tidak meninggikan suara, ketawa dengan kuat dan tidak banyak bercakap tanpa sebab.

10 - Tidak bermain-main dan tidak berpaling tanpa keperluan.

11 - Menghadapkan diri kepada guru dengan penuh perhatian dan mendengar dengan teliti.

12 - Tidak boleh mendahului guru dalam menerangkan sesuatu isu atau menjawab soalan kecuali dibenarkan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!