Zi Yu idam status hatrik AJBC

Low Zi Yu
Low Zi Yu
A
A
A

KEJOHANAN Badminton Remaja Allianz (AJBC) Grand Final 2024 bakal menyaksikan sejarah baharu apabila Low Zi Yu turun mempertahankan kejuaraan sekali gus memburu gelaran hatrik acara perseorangan wanita.

Begitupun, pemain berusia 14 tahun kelahiran Johor itu tidak mahu terlalu yakin sebaliknya kekal fokus setiap perlawanan kerana kali ini beraksi kategori Bawah 15 tahun.

“Sudah tentu saya mahu teruskan kemenangan untuk tahun ini dan berikan yang terbaik di setiap perlawanan. Perlawanan hari ini saya banyak melakukan kesilapan dan terlalu santai,” kata Zi Yu.

Edisi 2024, Zi Yu yang juga naib juara beregu wanita dalam Kejohanan Remaja Dunia, Oktober lalu bersama Dania Sofea Zaidi gagal mempertahankan kejuaraan acara berkenaan di AJBC 2024.

Zi Yu merupakan juara perseorangan dan beregu wanita bersama Auni Fatihin Azuan Kategori Bawah 13 tahun bagi saingan AJBC 2022 dan 2023.

“Ketika kejohanan AJBC di Kluang, Johor rakan saya (Auni Fatihin) tidak mengambil bahagian kerana menyertai kejohanan Cabaran Antarabangsa di Perlis,” katanya.

Sementara itu, pusingan awal Kumpulan A menyaksikan Zi Yu tidak berdepan masalah menundukkan Janice Tchin Yoa Xuan, straight set 21-11, 21-18.

Pemenang tempat ketiga perseorangan dan beregu wanita Bawah 13 tahun AJBC 2022, Kiera Wong Yin Xuen pula bertekad memperbaiki pencapaian edisi kali ini.

Artikel Berkaitan:

Dia kini beraksi dalam kategori Bawah 15 tahun wanita mengakui saingan getir, namun bertekad memburu keputusan positif.

“Tahun ini saya berharap dapat beraksi lebih baik kerana saya bermain dengan pemain yang berusia lebih setahun dan sudah tentu sedikit sukar.

“Jika saya berjaya dapat tempat ketiga, kedua atau menjadi juara ia sesuatu yang baik.

“Perlawanan pertama sedikit sukar kerana belum dapat menyesuaikan diri dengan kelajuan bulu tangkis dan keadaan angin di gelanggang. Saya berharap untuk dapat melepasi peringkat kumpulan,” kata Kiera Wong.

Pada hari pertama saingan Kumpulan B, Kiera Wong menang 21-9, 21-19 ke atas Chen Siew Siew sebelum tewas kepada Teoh Sue Mei, 22-20, 21-11

INFO

Pusingan akhir AJBC 2024 di Stadium Juara, Bukit Kiara menyaksikan 193 pemain lelaki dan perempuan yang merupakan pemenang pusingan kelayakan peringkat negeri bagi kategori Bawah 11 tahun, Bawah 13 tahun dan Bawah 15 tahun melibatkan acara perseorangan dan beregu.

Setiap pemain akan beraksi secara liga sepusingan di peringkat kumpulan menyaksikan dua pemain atau beregu teratas setiap kumpulan akan beraksi ke pusingan kalah mati bagi merebut kejuaraan edisi 2024.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!