Padah bakar mercun, dua beradik didakwa
TELUK INTAN - [DIKEMAS KINI] Dua beradik lelaki dihadapkan di dua mahkamah berasingan di sini pada Jumaat atas pertuduhan memiliki dan melakukan khianat membakar bunga api sehingga menyebabkan kebakaran di Dewan Arena Square Teluk Intan minggu lalu.
Di Mahkamah Sesyen, tertuduh Jesan John Mikela, 19, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.
Mengikut pertuduhan, remaja lelaki terbabit didakwa menggunakan bunga api dengan mengetahui mungkin dengan jalan itu menyebabkan kerosakan kepada bangunan Dewan Arena Square kepunyaan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang digunakan sebagai tempat kegunaan awam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Arena Square Jalan Raja Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak antara jam lebih kurang 11.29 malam pada 11 November 2024.
Jesan yang hadir ke mahkamah ditemani bapanya didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin selain mengenakan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri ke balai polis sebulan sekali.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret, abang Jesan, Steven John Mikela, 24, membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan mempunyai bahan letupan jenis happy boom assorted 138 shot dan happy boom red cracker 88 di lokasi sama jam lebih kurang 8.30 malam pada 11 November 2024.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang memperuntukkan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori dikenakan jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin.
Pendakwaan kedua-dua kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal dan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Faustina Francis.
Mahkamah turut menetapkan 20 Disember depan sebagai tarikh sebutan kedua-dua kes.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, kebakaran Dewan Arena Square Teluk Intan itu melibatkan bahagian bumbung dan dipercayai berpunca daripada percikan mercun serta bunga api yang dipasang bagi acara sambutan hari jadi.
Acara berkenaan dihadiri sekitar 500 tetamu, bagaimanapun kesemua mereka terselamat tanpa sebarang kecederaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!