FAS terima peruntukan RM10 juta setahun
SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor menyediakan peruntukan sejumlah RM10 juta setiap tahun kepada pihak pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) bagi tahun 2020 hingga 2023.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, peruntukan tersebut disalurkan kepada pihak pengurusan bagi memastikan kesinambungan program pembangunan bola sepak dan kegemilangan skuad Merah Kuning.
Jelasnya, Majlis Sukan Negeri Selangor bersama FAS sentiasa memastikan program pembangunan bola sepak terus diperkembangkan di seluruh negeri melalui program-program yang telah disediakan terutamanya di peringkat akar umbi.
"la bagi memastikan matlamat melahirkan pemain bola sepak terbaik dari negeri Selangor tidak akan terputus," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Mohd Shafie Ngah (PN - Sungai Ramal) mengenai bentuk bantuan kerajaan negeri kepada FAS bagi tahun 2020 hingga 2023 dan berapakah jumlah bantuan diberikan.
Mohd Najwan yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Anggerik berkata, kesemua program pembangunan bola sepak di negeri Selangor melibatkan lebih daripada 10,000 peserta dari seluruh Selangor.
Jelasnya, kerjasama rapat antara Selangor FC dan FAS diteruskan untuk memperkukuhkan struktur liga Selangor bagi menggalakkan penglibatan pemain muda dari semua daerah Selangor dengan menyasarkan penglibatan atlet elit remaja yang terbaik dari Seluruh Selangor.
"Sehingga kini Selangor FC mempunyai seramai 120 pemain bola sepak profesional berumur di antara 16 hingga 35 tahun (pasukan Liga Super, B-23, B-20, B-18), 50 pemain bola sepak amatur (pasukan futsal dan wanita), 100 pemain akademi (Sekolah Sukan Negeri), 2,000 pelatih-pelatih akar umbi B-12 tahun dan 200 jurulatih sambilan (Selangor FC Soccer Schools) serta seramai 70 orang pegawai teknikal pakar yang terdiri daripada jurulatih, jurulatih kecergasan, fisio, pakar pemakanan, penganalisa video dan pegawai perubatan yang bekerja secara sepenuh masa," ujarnya.
Menurutnya lagi, pasukan-pasukan di bawah Selangor FC ini telah bertanding dan mewakili negeri Selangor dalam pertandingan anjuran Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang berlangsung sepanjang tahun.
"FAS pula telah menjalankan pelbagai inisiatif dan program pembangunan bola sepak yang melibatkan kelab-kelab bola sepak ahli gabungan FAS, jurulatih, pengadil dan pemain bola sepak lelaki dan perempuan di peringkat komuniti.
"Secara rumusan, jumlah program tahunan FAS adalah sebanyak 117 program seperti pertandingan, klinik dan kursus bola sepak yang melibatkan seramai 17,936 peserta berumur daripada umur 7 tahun sehingga 40 tahun di seluruh Selangor," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!