Lans koperal didakwa curi emas orang meninggal dunia dalam kereta

Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri barang kemas wanita yang meninggal dunia dalam kereta awal bulan lalu.Gambar hiasan
Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri barang kemas wanita yang meninggal dunia dalam kereta awal bulan lalu.Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas satu pertuduhan mencuri barang kemas wanita yang meninggal dunia dalam kereta awal bulan lalu.

Mohd Alifah Mohd Sapie, 35, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, MS Arunjothi.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa mencuri masing-masing satu rantai leher dan rantai tangan milik Nur Farhana Nisha Syazwan, 26, yang meninggal dunia dalam kereta jenis Proton Saga, di tepi Jalan Prima Setapak, Wangsa Maju di sini jam 2.40 pagi pada 1 Oktober lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Vivi'asnita Zaina'larifin mencadangkan tertuduh tidak diberi jaminan dengan alasan kesalahan itu termasuk dalam kes yang tidak boleh diikat jamin.

“Jika mahkamah mahu menawarkan jaminan, saya mencadangkan kadar itu ditetapkan pada nilai yang tinggi, iaitu bagi memastikan tertuduh hadir ke mahkamah pada setiap prosiding,” katanya.

Bagaimanapun, peguam, Lavinia Raja yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya diberi ikat jamin pada kadar minimum kerana Mohd Alifah perlu menanggung isteri dan lima anak berusia dua hingga 12 tahun.

“Dia berjanji akan hadir ke mahkamah dalam setiap prosiding yang ditetapkan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Arunjothy membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan semula kes pada 22 Januari 2025.

Pada 5 November lalu, Sinar Harian melaporkan empat anggota polis ditahan untuk siasatan kes kecurian barang kemas milik seorang wanita yang ditemui meninggal dunia dalam kereta di parkir sebuah kondominium di Setapak di sini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!