Doktor dituduh rakam punggung wanita
TELUK INTAN - Seorang doktor didakwa di Mahkamah Majistret Teluk Intan pada Jumaat atas pertuduhan mengaibkan kehormatan seorang wanita pada Julai lalu.
Tertuduh, Amirul Haqim Ayub, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Naidatul Athirah Azman.
Mengikut pertuduhan, pegawai perubatan sebuah hospital yang sudah berkahwin itu didakwa dengan sengaja mengaibkan kesantunan seorang pekerja wanita berusia 27 tahun dengan merakam video punggung dan bahagian badan menggunakan telefon bimbit.
Kesalahan dilakukan di sebuah kedai penjagaan kecantikan dan kesihatan dalam sebuah pasar raya di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan sekitar jam 6.30 petang pada 12 Julai 2024.
Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala tertuduh diwakili Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), S Kumaresan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Berdasarkan laporan polis dibuat, kejadian berlaku semasa mangsa sedang menyusun stok barang baharu di kedai berkenaan.
Pemeriksaan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati, tertuduh telah mendekati pekerja dan merakam video punggung mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!