Pulau Pinang sambut ketibaan penerbangan terus pertama HK Express dari Hong Kong
GEORGE TOWN - Pulau Pinang menyambut ketibaan penerbangan terus yang pertama Hong Kong Express (HK Express) dari Hong Kong pada Jumaat, sekali gus menandakan satu pencapaian dalam pembangunan pelancongan negeri.
Penerbangan itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong pada jam 8.30 malam semalam dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pada jam 12.15 tengah malam tadi waktu tempatan.
Penerbangan itu kemudiannya berlepas dari Pulau Pinang pada jam 1.15 pagi dan tiba di Hong Kong pada jam 5.05 pagi waktu tempatan.
HK Express menjadi syarikat penerbangan ketiga yang mengendalikan penerbangan terus antara Hong Kong dan Pulau Pinang, selepas penerbangan terus Cathay Pacific dan AirAsia.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, perluasan bagi laluan itu menunjukkan satu lagi langkah penting dalam meningkatkan rangkaian penerbangan antarabangsa.
Penerbangan itu juga mengukuhkan kesambungan udara antara kedua-dua destinasi, menawarkan lebih fleksibiliti dan lebih mudah kepada kalangan penduduk, pengembara dan profesional perniagaan.
"Pelancaran laluan ini bukan sahaja satu pencapaian bagi pembangunan pelancongan Pulau Pinang malah juga penghubung penting untuk memupuk hubungan yang lebih erat antara penduduk kedua-dua destinasi.
"Penerbangan terus ini akan mengurangkan tempoh perjalanan antara Hong Kong dan Pulau Pinang dengan ketara dan lebih memudahkan penduduk kedua-dua wilayah,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Beliau yakin laluan terus itu akan menarik lebih ramai pelancong dari Hong Kong dan 'Greater Bay Area' (GBA) untuk menikmati layanan mesra di Pulau Pinang.
GBA meliputi sembilan bandar di wilayah Guangdong, serta Hong Kong dan Macau.
Hon Wai memetik perangkaan daripada Jabatan Banci dan Perangkaan Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR) berkata, Hong Kong mempunyai kira-kira 7.7 juta populasi.
GBA meliputi 56,000 kilometer persegi, dengan 86 juta populasi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi 14 trilion renminbi, menyumbang sekitar 11 peratus kepada jumlah keluaran ekonomi China.
Oleh itu, penambahan laluan tersebut bersama perkhidmatan sedia ada Cathay Pacific dan AirAsia menunjukkan potensi besar Hong Kong dan GBA sebagai pasaran pelancongan utama untuk Pulau Pinang.
"Terutama apabila penerbangan sulung Hong Kong Express ini membawa lebih 100 atlet perahu naga, wakil syarikat penerbangan dan media ke Pulau Pinang untuk Regatta Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang 2024.
"Ini termasuk pasukan terkemuka seperti ‘Dignified Dragons’, ‘Dongguan Shui Nan Starway’ China, ‘Hong Kong China’, ‘Amazing One’ Hong Kong dan ‘Amazing Grace’ sekali gus menunjukkan peluang dinamik untuk kerjasama melalui pertukaran sukan dan kebudayaan,” katanya.
Hon Wai berkata, Pulau Pinang berharap dapat menjalinkan perkongsian yang lebih kukuh dengan HK Express untuk memacu pembangunan ekonomi dan budaya, mewujudkan lebih banyak peluang untuk orang ramai menikmati daya tarikan dan keunikan Pulau Pinang dan Hong Kong.
Pada masa ini, Pulau Pinang menawarkan 33 laluan penerbangan terus antarabangsa yang dikendalikan oleh pelbagai syarikat penerbangan, menghubungkan 18 bandar di seluruh dunia termasuk Shanghai, Shenzhen, Guangzhou, Xiamen, Hong Kong, Dubai, Singapura, Bangkok dan Taipei.
"Susulan pelancaran penerbangan terus Hong Kong Express dan laluan terus oleh Indigo Airlines ke Chennai pada 21 Disember, kesalinghubungan Pulau Pinang akan berkembang kepada 35 laluan meliputi 19 bandar,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!