Pemandu larikan diri, tinggalkan rokok seludup dalam lori
KUANTAN - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang menumpaskan dua aktiviti penyeludupan rokok putih yang bernilai RM206,224 dan melibatkan duti atau cukai berjumlah RM1.721 juta dalam operasi berasingan pada Oktober dan awal November lalu.
Pengarahnya, Mohd Asri Seman berkata, rampasan pertama dilakukan pada 22 Oktober lalu, apabila pasukan penguatkuasaannya menahan sebuah lori di Batu 93, Lebuh Persiaran Tun Khalil Yaakob, Muadzam Shah, Rompin, sekitar jam 6.50 pagi.
“Hasil pemeriksaan ke atas lori tersebut menemui 1,680,000 batang rokok putih bernilai RM134,400, dengan duti atau cukai dianggarkan sebanyak RM1.122 juta.
"Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori ialah RM1.306 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar mengenai kejayaan JKDM dalam menumpaskan sindiket penyeludupan rokok di Dewan Dato’ Hadzri, Wisma Kastam Shah, Indera Mahkota, di sini pada Jumaat.
Mohd Asri memaklumkan, siasatan awal mendapati, lori berkenaan didaftarkan di bawah sebuah syarikat dan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Selatan tanah air.
"Pemandu lori terbabit telah melarikan diri ke kawasan sawit berhampiran, manakala lori tersebut ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan enjin masih hidup.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967, yang membawa hukuman denda hingga 20 kali nilai barang atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
Mohd Asri berkata, rampasan kedua melibatkan 897,800 batang rokok putih yang ditemui di sebuah gudang di Pusat Perindustrian Alor Gajah, Melaka, pada 3 November lalu sekitar jam 4.15 petang.
Katanya, ia membabitkan duti atau cukai berjumlah RM599,730.40.
"Kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda serupa dengan kes pertama," jelasnya.
Menjawab mengenai modus operandi, beliau berkata, sindiket didapati menggunakan lori pada waktu pagi untuk mengaburi pihak berkuasa dan menyimpan rokok seludup di premis tertentu bagi mengelak dikesan.
Jelasnya, kedua-dua kes terbabit bagaimanapun masih dalam siasatan dan pihak kastam sedang mengesan pelaku yang terlibat.
Sehubungan itu,Mohd Asri menyeru orang awam untuk membantu memerangi penyeludupan yang merugikan negara dari segi hasil dan keselamatan.
"Kita komited untuk terus membanteras aktiviti penyeludupan demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.
"Maklumat boleh disalurkan menerusi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855. Identiti pemberi maklumat dijamin dirahsiakan," jelasnya beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!