Lima tan ikan bandaraya ditangkap dalam tempoh sebulan
SHAH ALAM - Sebanyak 4,467 kilogram (kg) ikan bandaraya berjaya ditangkap menerusi pemberian ganjaran RM1 bagi setiap kg di bawah program anjuran kerajaan negeri Selangor.
Program dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Selangor, MBI, Landasan Lumayan Sdn Bhd, UniSel dan Komuniti Pemburu Ikan Bandaraya (KPIB) itu bermula 1 September lalu selama sebulan.
Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor, Izham Hashim berkata, program dijalankan di kawasan Denai Kebangsaan di Sungai Langat bagi fasa pertama dari 1 sehingga 30 September 2024.
"Penyertaan ini telah berjaya mendaratkan sebanyak 4,467 kg ikan bandaraya. Jumlah ikan yang didaratkan adalah jauh daripada jangkaan asal iaitu lima tan.
"Ini berlaku disebabkan keadaan cuaca yang menyebabkan aras air sungai tinggi pada bulan September.
"Bagaimanapun, melalui maklum balas diterima daripada pemancing sekitar kawasan ini, program ini sedikit sebanyak memberikan kesan positif dari segi hasil tangkapan mereka," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Jumaat.
Izham berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Datuk Harrisson Hassan (PN-Jeram) mengenai impak dan keberkesanan tawaran pemberian ganjaran RM1 bagi setiap satu kg tangkapan ikan bandaraya setakat 1 Oktober lalu.
Izham yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pandan Indah menambah, dana untuk pemberian insentif tersebut juga masih berbaki dan akan ditawarkan pada program berikutnya di lokasi sesuai tahun ini.
Jelasnya, objektif utama program tersebut dijalankan adalah untuk mengurangkan populasi ikan pleco atau ikan bandaraya dari perairan sungai di negeri Selangor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!