Kerajaan gred D: Maklum balas positif bukti PM terbuka terima kritikan
SHAH ALAM - Maklum balas positif Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disusuli iltizam untuk memperbaiki markah gred pada masa akan datang adalah gambaran keterbukaan beliau dalam menerima kritikan.
Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, pihaknya memberikan gred D iaitu 45.8 peratus bermaksud progress reformasi yang amat minimal dilaksanakan Kerajaan Perpaduan kerana wujud jurang besar antara janji manifesto dan pelaksanaan.
Menurutnya, laporan itu telah mendokumenkan kemajuan dalam tiga bidang utama iaitu reformasi pilihan raya, institusi dan kebebasan sivil.
"Bagaimanapun laporan tersebut memperakui sedikit kemajuan dicapai untuk reformasi institusi seperti meluluskan Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023, pindaan Akta Audit 1957 serta memperkukuh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen selain agenda lain yang masih dalam proses libat urus.
"Diingat kepada semua bahawa laporan prestasi ini adalah bersifat sementara yang kerajaan masih mempunyai tempoh berbaki tiga tahun untuk membuat penambahbaikan.
"Dalam laporan Bersih tersebut, kami turut meletakkan saranan-saranan penambahbaikan yang harus dilakukan antaranya dengan menggubal Akta Perkhidmatan Parlimen, memuktamadkan pelaksanaan pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta meminda Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954," katanya pada Jumaat.
Tambah Muhammad Faisal, saranan lain adalah memberi peruntukan sama rata kepada semua ahli Parlimen termasuk pembangkang, laksanakan reformasi untuk pelantikan institusi utama menerusi satu Jawatankuasa Parlimen dan sebagainya.
Jelasnya, pada masa sama Bersih turut memuatkan laporan prestasi pembangkang.
"Kami membawa desakan untuk pihak pembangkang memperbaiki prestasi agar dapat menjadi agen semak dan imbang yang berkualiti.
"Bersih sentiasa terbuka untuk bersama dengan semua pihak bagi menjayakan agenda reformasi di negara ini," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!