Prospek lebih cerah Kerajaan Perpaduan selepas dua tahun memerintah - Mujahid
KUALA LUMPUR - Prospek Kerajaan Perpaduan untuk tahun mendatang dilihat semakin cerah sejajar kejayaan dicapai kerajaan dalam proses pemulihan ekonomi dan membina imej Malaysia di mata dunia, kata Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Beliau berkata, selepas dua tahun memerintah tidak dinafikan masih banyak yang perlu dilakukan namun susuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi inspirasi kepada tentang semangat kebangkitan melalui Tajdid Pemikiran dan Islah negara adalah jaminan terbesar dalam mencapai cita-cita ini.
"Perdana Menteri juga akan memimpin ASEAN untuk tahun 2025 sekali gus membawa berbagai idea untuk memajukan rantau ini dan hubungannya dengan rantau lain.
"Kita doakan Kerajaan Perpaduan yang lahir dua tahun yang lepas kekal lebih kuat dan lebih meyakinkan segenap lapisan rakyat.
"Sepertimana kita harapkan juga agar parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan tidak diganggu gugat oleh suara-suara yang mahu melihat perpecahan dalam kalangan blok dalam perpaduan berlaku," katanya dalam artikel bertajuk ‘Dua Tahun Kerajaan Perpaduan: Melangkah Ke Hadapan’ yang disiarkan melalui ruangan Tinta Minda di portal Bernama.
Mujahid yang juga Timbalan Presiden Amanah dan Pengerusi Pakatan Harapan Perak berkata, sepanjang dua tahun tertubuhnya Kerajaan Perpaduan, Perdana Menteri masih kekal dengan momentum perubahan dengan mengimbangi kepelbagaian kerenah dalaman mahupun birokrasi termasuklah perubahan budaya dan tingkah laku yang menjadi penghalang utama.
Beliau berkata, berdasarkan enam nilai utama Madani, polisi-polisi baharu bersifat struktural diperkenalkan antaranya Kebertanggungjawaban Fiskal Negara bagi memastikan kerajaan bertanggungjawab terhadap perbelanjaan perbendaharaan negara.
Selain itu, penstrukturan semula regim subsidi kepada bersasar, gaji progresif, meningkatkan gaji penjawat awam, skim pencen yang baharu serta pembelaan golongan yang memerlukan daripada berbagai program kebajikan rakyat yang ditingkatkan.
"Dasar mengunjur ke hadapan seperti Kecerdasan Buatan (AI), Dasar Peralihan Tenaga Baharu, Perindustrian Baru semuanya dirangka dalam gagasan besar Madani," katanya.
Untuk artikel penuh boleh layari https://www.bernama.com/bm/tintaminda/news.php?id=2366266#abc. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!