TFC tidak ambil mudah ancaman Melaka FC
KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Badrul Afzan Razali mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengambil mudah pertemuan dengan Melaka FC pada perlawanan pertama pusingan 16 terakhir Piala Malaysia 2024/25 di Stadium Hang Jebat malam esok.
Pengendali berusia 47 tahun itu berkata, walaupun beraksi dalam saingan liga berbeza iaitu Liga A Semi Pro, Melaka FC yang dibimbing jurulatih berpengalaman K Devan tetap memiliki kekuatan tersendiri.
Badrul Afzan berkata, skuad Penyu tidak boleh leka dan perlu sentiasa berwaspada dengan pergerakan pemain lawan terutama di posisi serangan yang dibarisi tonggak import berkualiti.
"Melaka FC kini menduduki puncak Liga A Semi Pro. Jadi kita tidak boleh ambil mudah kerana dalam bola sepak apa-apa sahaja boleh berlaku.
"Jentera serangan pasukan itu perlu 'dirantai’ kerana mereka memiliki dua pemain berbahaya di posisi berkenaan. Jika dibiarkan, mereka meranapkan kubu pertahanan dan menyebabkan kita berputih mata," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Badrul Afzan yang juga bekas pemain tengah Terengganu, Kedah, Pahang dan Kelantan berkata, kesemua pemain kini berada dalam keadaan baik, kecuali tonggak pertahanan Azam Azmi Murad dan Nelson Bonilla yang mengalami cedera ringan.
Beliau berkata, motivasi anak buahnya kini berada pada tahap tertinggi dan sedia untuk meledakkan sebanyak mungkin gol untuk dibawa sebagai bekalan pada aksi timbal balik di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) 29 November ini.
"Azam dan Bonilla baru pulang daripada tugasan bersama skuad kebangsaan masing-masing. Mereka mengalami cedera ringan... Belum pasti sama ada akan diturunkan atau tidak.
"Kita tidak meletakkan sasaran gol, tetapi TFC berazam menampilkan aksi terbaik untuk penyokong skuad Penyu malam esok. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!