[VIDEO] Kerajaan hanya tanggung RM1.66 juta kos penerbangan lawatan rasmi PM
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kerajaan hanya menanggung RM1.662 juta daripada RM6.162 juta kos penerbangan khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke lima negara baru-baru ini.
Menerusi sidang akhbar mingguan, Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil menjelaskan, kos yang ditanggung kerajaan itu adalah bersamaan 27 peratus manakala bakinya 73 peratus atau RM4.5 juta dibayar oleh delegasi perniagaan yang menyertai lawatan berkenaan.
"Penting untuk saya menjelaskan kerajaan membayar penerbangan Perdana Menteri dan ia tidak dibiayai oleh mana-mana syarikat," katanya pada Jumaat.
Menurutnya, dengan sewaan khas pesawat Malaysia Airlines (MAS) A350 itu, kerajaan menikmati penjimatan sebanyak RM900,000 jika dibandingkan dengan pesawat sedia ada yang mana kosnya mencecah RM2.5 juta.
"Kerajaan tetap mengeluarkan kos sebanyak RM1.662 juta manakala bagi semua urusan penginapan, makanan dan pengangkutan ia diuruskan oleh kerajaan atau penganjur bagi acara Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dan Sidang Kemuncak Kumpulan 20 (G20).
"Jadi tidak timbul isu bahawa penginapan, makanan, minum, penerbangan ia tidak ditanggung oleh syarikat.
"Syarikat-syarikat ini mempunyai niat sama ada tujuan pelaburan di negara yang telah dituju itu seperti Petronas contohnya mempunyai pelaburan sehingga AS$6 bilion di Brazil, maka mereka turut serta dalam rombongan dan membayar tiket," ujar beliau.
Anwar pada Khamis menjelaskan kira-kira 70 hingga 80 peratus kos melibatkan perjalanan dan lawatan rasminya ke lima negara iaitu China, Arab Saudi, Mesir, Peru dan Brazil ditanggung oleh syarikat swasta yang mengikuti urusan itu.
Katanya, pendekatan tersebut dilaksanakan di bawah pentadbirannya untuk memastikan perbelanjaan membiayai lawatan rasmi ke luar negara diuruskan secekap mungkin.
Sementara itu, ditanya adakah kerajaan sedia untuk mendedahkan senarai syarikat berkenaan, Fahmi berkata, ia boleh diajukan kepada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Dalam perkembangan sama, ditanya mengenai kehadiran anak sulung Anwar, Nurul Izzah dalam lawatan rasmi berkenaan, Fahmi menjelaskan ia atas kapasiti jemputan penganjur.
"Nurul Izzah dan Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Profesor Dr Mohd Faiz Abdullah telah dijemput oleh penganjur.
"Ini kerana Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tidak mengikuti rombongan ini dan beliau (Nurul Izzah) telah dijemput sebagai Pengarah Social and Economic Research Initiative (SERI)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!