JIPS guna dron pantau warga PDRM main golf ketika bertugas
KUALA LUMPUR - Pemantauan dan penyiasatan membabitkan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggunakan dron oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standards (JIPS) Bukit Aman.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pelaksanaan menggunakan dron itu akan mengawasi warga PDRM yang culas ketika bertugas.
Beliau berkata, JIPS akan menjalankan siasatan terus tanpa menunggu arahan daripada mana-mana pihak berhubung salah laku berlaku dalam kalangan pegawai dan anggota PDRM.
Kata beliau, jabatan itu diarahkan lebih proaktif dalam mengambil tindakan terhadap warga PDRM yang membuat salah laku untuk memastikan tahap integriti dan tatakelola mereka berada di tahap baik.
"Sekarang JIPS menggunakan dron untuk menyiasat mana-mana pegawai dan anggota yang terbabit salah laku.
"Ia termasuk mereka yang keluar dari pejabat untuk bermain golf. Kita akan ambil tindakan.
"Selain itu, semua pegawai JIPS di kontinjen, Bukit Aman dan daerah telah bergerak. Kita lihat pihak JIPS sendiri yang tangkap pegawai yang terlibat dengan salah laku, pergi ke karaoke, berfoya-foya serta berbelanja melebihi kemampuan," katanya ketika sidang akhbar pada Jumaat.
Beliau berkata demikian selepas majlis perbarisan tamat latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) di Pusat Latihan Polis (Pulapol), di sini.
Hadir sama Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, pihak JIPS juga sudah pun menentukan bahawa Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam dilaksanakan terhadap penyelia yang gagal menyelia dengan baik.
Tegas beliau, tidak ada guna sekiranya penyelia gagal menyelia dan tidak guna juga individu itu diletakkan menyelia di situ.
Selain itu katanya, proses isytihar harta juga akan disemak oleh pihak JIPS bagi menentukan bahawa harta yang dimiliki oleh pegawai dan anggota polis berada dalam kemampuannya untuk memiliki harta itu.
"Sekiranya tidak, kita akan mengambil tindakan seperti tindakan yang diambil ketika saya mula menjawat sebagai Ketua Polis Negara.
"Kita akan tukarkan tempat bertugas dan kita juga akan arahkan untuk jual harta yang dia tidak ada kemampuan (beli) itu," jelasnya.
Mengenai majlis hari ini, Razarudin berkata, ia kali pertama diadakan majlis perbarisan tamat latihan PLAK menggabungkan empat Pulapol iaitu Kuala Lumpur, Segamat, Dungun dan Bukit Sentosa.
“Penganjuran perbarisan tamat latihan PDRM, istiadat pada kali ini menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel dari empat Pulapol.
"Barisan pelatih pada hari ini terdiri daripada pelatih PLAK Inspektor seramai 339 orang, PLAK Sarjan (293 orang) dan PLAK Konstabel (1,115 orang)," katanya.
Terdahulu ketika berucap, Razarudin menegaskan kepimpinan PDRM tidak akan berkompromi dengan warga pasukan yang terlibat dalam jenayah atau salah laku.
"Arahan Ketua Polis Negara Bilangan 191 mengenai “Total Enforcement” ke atas Peraturan 3C Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 perlu dipatuhi sepenuhnya.
"Arahan ini menekankan aspek penyeliaan oleh Pegawai Polis, antaranya menerusi pelaksanaan Sistem Kawalan Disiplin dan Dadah (SKDD) PDRM secara 'close monitoring',” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!