Lawatan delegasi Afghanistan: Guan Eng perlu bersangka baik

Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Datuk Dr Azhar Ahmad
Laporan Sinar Harian pada Rabu. Gambar kecil: Datuk Dr Azhar Ahmad
A
A
A

IPOH - Mana-mana negara yang ingin belajar daripada Malaysia dalam menguruskan sektor pendidikan perlu dialu-alukan.

Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, rakyat di negara ini termasuk pemimpin politik sepatutnya menyambut baik kehadiran mana-mana delegasi dunia ke Malaysia untuk mereka mempelajari sesuatu.

Justeru katanya, tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menuntut penjelasan daripada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini ke kementerian itu sebagai tidak wajar.

"Mereka datang untuk mencari pengetahuan, belajar daripada Kementerian Pendidikan, jadi apa masalah? Maknanya ia tanda penghormatan negara lain kepada Malaysia.

"Sepatutnya kita alu-alukan. Soal pemerintahan negara mereka itu, mereka punya pasal lah, Malaysia tidak campur urusan negara lain.

"Kita bersangka baiklah. Mereka datang berjumpa kita, berbincang bagaimana mereka hendak menjadikan negara mereka hebat macam negara kita dalam pendidikan. Bagaimana Malaysia menguruskan pelajar wanita dan pelajar lelaki," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Azhar berkata, Guan Eng atau mana-mana pihak tidak perlu bimbang kerana kehadiran delegasi Afghanistan tersebut diketahui oleh Wisma Putra dan agensi keselamatan negara.

Menurutnya, keinginan mereka untuk mempelajari sesuatu daripada Malaysia merupakan satu pengiktirafan terhadap kejayaan sistem pentadbiran negara.

Artikel Berkaitan:

"Jadi, kalau mereka setakat datang untuk belajar daripada kita, patut kita memberi bantuan kepada mereka tentang bagaimana pendidikan boleh memajukan negara mereka kerana dengar ilmu sajalah yang boleh merubah sesebuah masyarakat dan negara.

"Tidak ada masalah bagi saya dan mana-mana negara pun yang nak datang jumpa kita untuk hal pendidikan.

"Kalau niat nak belajar kita dialu-alukan kecuali negara itu tidak ada hubungan diplomatik macam Israel, tak bolehlah," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Guan Eng menuntut penjelasan daripada Fadhlina berhubung lawatan delegasi Kementerian Pendidikan Afghanistan pimpinan Taliban pada awal bulan ini ke kementerian itu.

Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu mendakwa, lawatan tersebut menimbulkan persoalan memandangkan Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara terbabit.

Menjawab mengenai persoalan itu, Fadhlina dalam satu kenyataan menjelaskan Malaysia sentiasa membuka pintu kepada mana-mana pihak termasuk Afghanistan yang dipimpin Taliban bagi mempelajari sistem pendidikan negara ini.

Beliau berkata, usaha itu juga menjadi peluang terbaik untuk negara khususnya kementerian pimpinan beliau menonjolkan sisi terbaik pencapaian dan ekosistem pendidikan bagi kanak-kanak perempuan.

Tambahnya, selaku negara yang dianggap contoh oleh pihak luar, Malaysia juga harus berani dalam melawan diskriminasi dan terus memperjuangkan hak pendidikan untuk anak-anak perempuan di seluruh dunia.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!