KTMB sedia 6,300 tiket tambahan sempena Krismas, cuti sekolah
SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan 6,300 tiket tambahan sempena sambutan Hari Krismas dan cuti sekolah penggal ketiga Disember ini.
KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan pihaknya turut menyediakan dua perkhidmatan tren ETS tambahan bagi laluan KL Sentral-Padang Besar dan sebaliknya.
“Perkhidmatan tren tambahan ini akan beroperasi selama 10 hari, bermula 20 Disember sehingga 29 Disember 2024 bagi memenuhi permintaan penumpang yang meningkat semasa musim cuti ini.
“Tiket tren tambahan tersebut akan mula dijual pada 25 November 2024 (Isnin) bermula jam 10 pagi,” katanya pada Jumaat.
Jelas kenyataan itu, tren tambahan berkenaan menawarkan 630 tiket sehari menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6,300 tiket yang merangkumi koc kelas perniagaan.
“Jadual operasi tren ETS tambahan ke Padang Besar-KL Sentral 11.05 pagi - 4.30 petang manakala KL Sentral - Padang Besar 5.00 petang -10.20 malam.
“Tren ETS tambahan ini dilaksanakan bagi memenuhi permintaan tinggi khususnya semasa musim perayaan dan cuti sekolah,” katanya.
KTMB menasihatkan pengguna untuk mendapatkan tiket lebih awal dan tidak menunggu saat akhir bagi mengelakkan kehabisan tiket.
Pengguna juga disarankan untuk hadir di stesen lebih awal bagi memudahkan urusan dokumentasi dan pemeriksaan di pintu get sekali gus memastikan perjalanan yang lebih lancar.
Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan tiket secara atas talian dan melihat jadual tren disediakan melalui aplikasi KTM Mobile (KITS) atau di laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my bagi pembelian tanpa tunai yang lebih mudah dan pantas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!